Kuasa populariti, ini 5 selebriti Indonesia paling ramai pemuja

MEDIA sosial sudah menjadi platform paling penting dalam kehidupan seharian seseorang terutama bagi golongan selebriti.

Bukan hanya medan untuk memuat naik ‘diari’ kehidupan bahkan medium untuk tempat mencari makan lebih-lebih lagi menerusi Instagram (IG).

Jumlah pengikut yang ramai dalam IG membuktikan dominasi mereka di platform tersebut selain memiliki strategi kandungan yang kuat untuk menarik audiens.

Kali ini, HibGlam menyenaraikan lima artis Indonesia yang memiliki jumlah pengikut IG paling ramai mengikut kajian pada 2024.

Raffi Ahmad, Nagita Slavina

PASANGAN selebriti Raffi Ahmad dan Nagita Slavina yang berkongsi akaun menduduki carta teratas pengikut teramai sebanyak 76.2 juta.

Kombinasi kehidupan berkeluarga dan perniagaan yang ditampilkan dalam platform tersebut menjadi daya tarikan utama peminat.

Sebagai individu di sebalik RANS Entertainment iaitu syarikat hiburan yang diasaskan bersama, pasangan itu kerap bekerjasama dengan pelbagai jenama besar sekali gus mengukuhkan imej di mata pengikut.

Ayu Ting Ting

PENYANYI Ayu Ting Ting memiliki jumlah pengikut sebanyak 57.1 juta menjadikannya antara artis perempuan paling popular dalam IG.

Ayu atau nama sebenarnya Ayu Rosmalina memanfaatkan platform tersebut untuk menyajikan momen kehidupan peribadi termasuk masa yang dihabiskan bersama keluarga.

Sering berinteraksi dengan peminat seperti dalam siaran langsung dan hantaran IG menjadi strategi wanita berusia 32 tahun itu dalam mempertahankan jumlah pengikut yang besar.

Prilly Latuconsina

PELAKON juga penyanyi Prilly Latuconsina memiliki jumlah pengikut sebanyak 56.4 juta.

Prilly atau Prilly Mahatei Latuconsina dikenali sebagai seorang yang aktif memuat naik kandungan kehidupan profesional dan pandangannya mengenai isu sosial.

“Instagram adalah media untuk menyuarakan idea dan membangunkan hubungan langsung dengan peminat,” katanya.

Keperibadian yang ramah dan sikap keterbukaannya menjadikan aktres berusia 29 tahun itu idola ramai.

Syahrini

 

MEMANFAATKAN kemewahan dan gaya hidup glamor, penyanyi Syahrini mampu menangkap perhatian 45.3 juta pengikut.

Sebagai penyanyi, pemilik nama lengkap Fatimah Syahrini Jaelani, 43, menggunakan IG untuk membina imej eksklusifnya.

Menggambarkan diri sebagai puteri elegan dan imej mewah merupakan strategi pelantun lagu Jangan Memilih Aku kini isteri Reino Barack menarik ramai pengikut.

Atta Halilintar

DIKENALI sebagai pempengaruh dan usahawan, Atta Halilintar memancing tumpuan 39.8 juta pengikut dalam IG.

Akaun pemilik nama penuh Muhammad Attamimi Halilintar, 31, merangkumi kandungan inspirasi tentang perniagaan sehinggalah kehidupan peribadi bersama keluarga.

“Kejayaan datang daripada kerja keras dan keberanian untuk mencuba,” katanya.

Sikap optimis dan kreatif menjadi kekuatan utama sehingga disukai ramai. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok