DENGAN sekali lafaz, penyanyi Sufian Suhaimi sah bergelar suami kepada pilihan hatinya, Rania Al Sadat pada pukul 9.30 pagi tadi.
Majlis pernikahan yang berlangsung secara tertutup itu diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dengan disaksikan keluarga dan kenalan rapat.
Sufian, 33, dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Syaraff Al Sadat.
Pada majlis tersebut, Sufian menyerahkan mas kahwin berupa satu dinar emas, sebentuk cincin dan seutas gelang buat pengantin perempuan.
Dalam masa sama, pelantun lagu Di Matamu itu menyerahkan tiga dulang hantaran berbalas lima kepada Rania.
Difahamkan, mereka juga mengikat tali pertunangan pada awal Februari tahun ini selepas mula berkenalan sejak 2022.
Mengulas tentang hari bahagianya, Sufian berharap bahtera yang dibina bersama Rania akan kekal hingga ke syurga.
“Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Illahi. Hari ini saya sah bergelar seorang suami kepada Rania dan semuanya berjalan dengan lancar.
“Terima kasih kepada keluarga, kawan rapat dan rakan media atas doa dan ucapan yang yang baik-baik buat saya dan isteri.
“Buat isteri tercinta, semoga perkahwinan kita sentiasa dirahmati dan bahagia hingga ke jannah,” katanya.
Bersempena hari bahagia, Sufian turut melancarkan sebuah single berjudul Saksi khas buat peminat.
Karya ciptaan Sirkhan, Namjan dan Rinkarnaen membawa naratif kisah cinta pasangan ini.
Muzik video eksklusif juga boleh ditonton dalam saluran YouTube rasmi Sufian bermula jam 2 petang hari ini yang menampilkan Rania, 25, sebagai simbolik kepada perjalanan cinta mereka yang kini menemui pelabuhan bahagia.
Terdahulu, khabar angin pasangan tersebut bakal bernikah hari ini bertiup kencang selepas Rania memuat naik foto dalam sebuah majlis bersiram.
Sebelum ini, Sufian pernah mendedahkan putus tunang pada April tahun lalu selepas penyanyi itu memberitahu cincin risik yang diberikan kepada Rania sudah dipulangkan.
Bagaimanapun, cinta mereka didakwa kembali bertaut beberapa bulan lalu selepas dilihat keluar meluangkan masa bersama. – HIBGLAM