Kulit Wayang: ‘Kalau orang cakap lakonan saya bagus, alhamdulillah’

BERAKSI dalam sebuah naskhah yang mampu menyerlahkan taring sebagai pelakon bukan mudah untuk dimiliki.

Ibarat rezeki jatuh ke riba jika watak yang diterjemahkan mampu membuatkan penonton terpegun sekali gus meraih pujian ramai.

Rezeki itulah yang diraih Fattah Amin apabila diberi peluang menjadi teraju utama filem arahan Dain Said, Kulit Wayang.

Mengakui itu amanah paling berat pernah dilakukan, Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd. Amin berkata, dia ‘bertapa’ di Terengganu selama sebulan bagi mendalami watak tok dalang bernama Pak Lee.

Lebih sukar, dia juga perlu mempelajari dan memahami dialek Kelantan yang sebelum ini terlalu asing buat dirinya.

“Kalau nak cakap ini watak terberat, ya betul. Sebelum ini orang kata berlakon filem epik sudah sukar tetapi bagi saya ini lagi epik!’

“Pak Lee banyak mengerah emosi dan jiwa saya larut dengan karakter sebagai tok dalang termasuk
beraksi di belakang kelir serta bermain dengan patung wayang kulit.

“Terlalu banyak ‘kerja rumah’ saya lakukan untuk menjiwai watak ini sampai ada satu masa saya duduk di Terengganu selama sebulan, tak balik rumah dan ‘berkurung’ seorang diri dalam bilik,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Bercerita tentang cabaran, Fattah berkata paling berat perlu meluahkan emosi bagi memberi nyawa
kepada watak Pak Lee.

Ujarnya, kebimbangan dan rasa sedih sekiranya kehilangan seorang anak itu yang perlu dilontarkan namun pengalaman sebagai bapa banyak membantunya.

“Bila baca skrip, saya sudah tahu watak Pak Lee sangat berat lebih-lebih lagu dia perlu bersedih akibat kehilangan anak kesayangan. Rasa itu sangat tragis.

“Namun syukur, hasil bimbingan daripada guru lakonan semuanya lancar termasuk usaha ubah skrip dari bahasa Melayu kepada dialek Kelantan agar lebih mudah difahami,” ujarnya.

Dalam masa sama, dia mengakui gementar bekerja dengan Dain yang yang menghasilkan banyak karya hebat.

“Cuma kalau cakap boleh menang anugerah, saya doa sahaja cuma tak mahulah tanam harapan dalam diri,” ujarnya lagi.

Selain Fattah, Kulit Wayang yang mengangkat tema tentang warisan budaya wayang kulit di negeri Pantai Timur turut dibintangi Pekin Ibrahim, Jenna Kamaratih, Reynavenzka Deyandra dan Amanda Ang.

Naskhah bergenre fantasi dan seram itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 1 Mei ini. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok