Lebih menyedihkan kata Saiful atau nama sebenarnya Saiful Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 56, wujud segelintir pihak membandingkan insiden tersebut dengan kes sahabat seangkatannya dalam kumpulan Senario, Yassin yang kini dirawat di pusat pemulihan di Arab Saudi.
Tiada orang jahat yang tak ada masa depan dan tiada orang baik yang tak ada masa silam. Sebenarnya, kalau boleh saya mahu diam saja, tapi sejak semalam ramai telefon, termasuk emak dan adik-beradik. Jadi saya kena jelaskan.
“Saya tak nak isu ini terus dibiarkan sebab banyak sangat spekulasi. Ada yang kaitkan saya dengan kes sahabat sendiri, ada pula korek kisah lama. Kalau saya diam, nanti lebih ramai dapat dosa kering,” katanya kepada HibGlam.
Menurutnya, kekecohan berlaku sewaktu dia menghadiri rumah terbuka Ketua Polis Negara di Cheras, apabila seorang individu tidak dikenali menghina filem lakonannya, 6 Jilake serta menyentuh nama pengarah Aziz M Osman.
Jadi saya harap dengan penjelasan ini dapat memulihkan balik segala spekulasi mengenai saya, misalnya ada yang mengatakan saya bergaduhlah, terbabit dengan kes dadahlah dan sebagainya.
“Saya pun tak sangka benda ini memberi kesan teruk. Azlee yang ada masalah jantung pun terkejut. Saya minta maaf sangat-sangat. Kepada keluarga saya, emak, adik-adik, inilah dunia hiburan, doa yang baik-baik,” ujarnya ketika ditemui pada majlis Terbaek Raya anjuran mStar, semalam.
Pelakon filem Duyung itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah melatah terhadap berita tidak sahih kerana semua itu mampu memberi impak besar kepada seseorang.
“Walaupun ditahan sekali pun, seseorang itu masih OKT iaitu Orang Kena Tahan dan tetap tidak bersalah selagi belum dibuktikan. Tapi sekarang, bila keluar saja cerita, ada stesen TV yang terus gugurkan nama.
Benda ini pernah jadi pada saya tahun 2010. Saya ingat lagi akhbar pun laris sebab kes saya. Bila buat baik orang diam, bila silap, semua berbunyi. Dengar boleh, percaya jangan. Kongsi pun kena hati-hati,” tegasnya.
Tegas Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular 2003 (ABP3) itu lagi, tuduhan konon insiden tersebut adalah gimik bagi melariskan filem baharu lakonannya juga tidak masuk akal.
Kalau betul nak buat gimik, tentu akan ada rakaman atau skrip.
“Tapi benda ini beri kesan buruk kepada saya dan sekeliling. Jadi kalau kata ini strategi promosi, saya sendiri pun tak setuju,” tutupnya.
Terdahulu, tular gambar dipercayai dirakam pada Selasa menunjukkan Apek bersama seorang lelaki lain sedang disoal anggota polis. – HIBGLAM