‘Syukur atas pemberian ini’ – Jep beri bayangan 2 anak autisme

PELAWAK dan penyampai radio, Jep Sepahtu seakan memberi bayangan menerusi satu hantaran istimewa dalam media sosial bahawa dua anaknya, Khidir dan Abu Bakar berdepan gangguan spektrum autisme (ASD) atau autisme.

Jep atau nama sebenarnya, Mohd. Nadzri Zainal Abidin yang baru sahaja genap usia 40 tahun berkata, takdir tersebut disifatkannya sebagai hadiah paling bermakna buat dirinya.

“Genap usiaku yang ke-40 tahun. Baru sahaja tadi aku mendapat hadiah yang membuatkan air mata tak berhenti mengalir.

Syukur alhamdulillah di atas pemberian ini. Ternyata, sangkaan baikku selama beberapa tahun ini akan terus menjadi sangkaan baik sepanjang hidup.

“Akanku jaga amanah ini dengan penuh rasa syukur, cinta, kasih dan sayang. Khidir dan Abu Bakr seindah namamu,” coretnya menerusi Instagram.

Walaupun tidak memperincikan sebenarnya-sebenarnya status dua anaknya itu, Jep yang merupakan penyampai radio Sinar FM sempat meninggalkan tanda pagar #AnakAbah, #AnakSyurga dan #Autisme pada perkongsian terbabit.

Sekadar info, Jep, 40, Sari Yanti, 41, melangsungkan perkahwinan mereka pada 25 Februari 2017.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Dariya Inara, 7, Muhammad Khidir, 5, dan Abu Bakr, 4.

Sari juga memiliki dua cahaya mata daripada perkahwinan pertamanya iaitu Barr Al-Aliy, 15, dan Baasit Al-Haq, 14. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok