HASIL gabungan dua pengarah hebat iaitu Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, filem Blood Brothers: Bara Naga kini mencatat kutipan pecah panggung RM21 juta hanya selepas empat hari tayangan.
Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif bersama filem tersebut Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa syukur dan penghargaan atas sokongan luar biasa yang diterima daripada penonton.
“Alhamdulilah dengan izin Allah SWT. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penonton, kru belakang tabir dan para pelakon yang terlibat kerana bertungkus-lumus menjayakan filem ini.
Ini bukanlah sesuatu yang baharu tetapi ini adalah pencapaian selama 4 hari tayangan filem ini. Sedikit lebih baik daripada filem Sherrif yang memperoleh tontonan sebanyak RM64 juta pada tahun lepas.
Sementara itu, Yusof tidak menolak kemungkinan Blood Brothers mampu mengatasi kutipan Sheriff dalam masa sebulan tayangan.
“Melihat kepada respons awal yang sangat bagus dan luar biasa daripada penonton, saya tidak dapat memberitahu sasaran yang ditetapkan tetapi saya mungkin kita boleh mencecah melebihi kutipan filem Sherrif selama sebulan dalam tayangan,” katanya.
Tambahnya, beliau menyatakan bahawa Blood Brothers mungkin mempunyai sambungan cerita di pawagam tetapi bukanlah dalam masa terdekat.
“Insya-Allah, saya yakin kami memang akan ada Blood Brothers 2 dan masih dalam proses. Bukan tahun ini kerana tahun ini kita ada tanggungjawab untuk buat Sherrif 2,” ujarnya.
Berdasarkan catatan, filem ini telah ditayangkan di 170 pawagam, dengan negeri Selangor, Johor, Kedah, Pahang, dan Terengganu menyumbang kepada jumlah penonton tertinggi, mencerminkan sambutan hangat dari peminat di seluruh negara. – HIBGLAM