‘Mula-mula sebulan sekotak, sekarang 2 minggu sekali 4 tan’

SEJAK berkecimpung dalam dunia hiburan bermula 2006, Alif Satar kini layak diangkat sebagai artis versatil kerana berkebolehan sebagai penyanyi, pelakon, pengacara, duta produk, penulis lagu dan ahli perniagaan.

Tidak semua orang mampu memiliki kebolehan luar biasa seperti pemilik nama lengkap Muhammad Alif Mohd. Satar itu.

Dalam dunia perniagaan, dia kini menubuhkan sebuah syarikat penghantaran barang iaitu WExpress di Arab Saudi sejak tahun lalu.

Sebenarnya orang nampak saya dalam hiburan sahaja tetapi saya ada perniagaan lain yang perlukan perhatian saya.

“Tambahan pula, musim haji sudah nak dekat, saya punya syarikat kurier servis WExpress di Saudi tengah sibuk,” katanya kepada HibGlam.

Meskipun menempuhi pelbagai cabaran, pelantun lagu Cukup Indah itu mengakui teruja dapat menjalankan perniagaan yang bukan sahaja membantu rakyat Malaysia tetapi seluruh umat negara ASEAN.

Perniagaan saya di Arab Saudi untuk bantu jemaah yang buat umrah. Sangat mencabar sebenarnya tetapi saya seronok.

“Baru setahun lebih saya buat. Masa awal-awal hanya hantar sebulan satu kotak tetapi sekarang dua minggu sekali kami hantar barang empat tan.

Jemaah-jemaah dari Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia kalau buat umrah dan beli barang boleh guna syarikat saya untuk hantar barang pulang.

“Saya buat dengan kerjasama pihak Pos Malaysia. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan,” kongsinya.

WALAUPUN sibuk dengan dunia perniagaan, Alif tetap meletakkan fokus dalam bidang hiburan yang menjadi punca utama rezekinya.

Idea tercetus

Berkongsi lanjut, selebriti berusia 35 tahun itu turut menceritakan idea penubuhan perkhidmatan hantar barang tercetus selepas melihat ramai jemaah menghadapi kesukaran menghantar barang ke negara mereka semasa menunaikan ibadah haji pada 2023.

“Itu memang idea saya sendiri. Semuanya bermula semasa saya buat haji pada 2023 bila tengok kenapa banyak kotak. Rupa-rupanya, mereka tunggu nak bawa balik barang ke Malaysia.

Mereka kata harga nak angkat barang naik kapal terbang mahal. Jadi, saya buat syarikat dan kami tawarkan kos lebih murah dan mudah.

“Sesiapa yang mahu gunakan khidmat saya hanya perlu tekan link, kami akan ambil barang di hotel dan hantar ke negara yang dituju,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok