MELAKAR sejarah melangsungkan persembahan mega berkonsepkan lagu raya pertama di Zepp KL, penghibur prolifik Datuk M. Nasir berharap konsert seumpama itu dijadikan sebagai budaya.
M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamed Sam, 67, berkata, koleksi kemeriahan dan kesyahduan seleksi lebaran wajar direalisasikan setiap tahun secara besar-besaran.
Okeykan kalau kita kongsikan banyak lagu nostalgia macam malam ini. Konsert ini sangat istimewa.
“Saya harap konsert seperti ini dijadikan budaya. Setiap hari raya akan ada konsert besar,” katanya ketika Konsert Datuk M. N46IR Cipta Raya, di sini, malam ini.
Membawakan 20 dendangan, penyanyi dan komposer tersohor itu turut menyampaikan tiga lagu raya klasik yang mengimbau nostalgia era tahun 50-an dan 60-an.
Seleksi tersebut adalah Suara Takbir nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Selamat Hari Raya (Allahyarham Puan Sri Saloma) dan lagu milik penyanyi Indonesia, Allahyarham Oslan Husein berjudul Selamat Hari Lebaran.
Malah, Zepp KL selaku gelanggang persembahan selama dua jam itu juga menjadi lantai tari sebaik lagu hitsnya diperdengarkan termasuk Sahabat Gua, Apokalips serta Esok Hari Raya.
Istimewanya, rata-rata penonton ‘sporting’ hadir mengikut tema raya dengan menggayakan baju Melayu lengkap bersamping, manakala wanita cantik berkebaya dan berbaju kurung.
Bahkan, sebelum konsert bermula, tuan rumah iaitu Icon Entertainment turut meraikan hampir 2,000 peminat M. Nasir atau sifu dengan aneka juadah Syawal termasuk lemang, ketupat, rendang, sate serta kuih muih dalam majlis rumah terbuka.
Penonton juga tidak pulang dengan tangan kosong kerana bukan hanya dihiburkan persembahan bertaraf lima bintang dengan perut kenyang, bahkan diberikan duit raya.
Sampul raya diselitkan di bawah kerusi, bukan jumlah jadi ukuran sebaliknya keikhlasan penganjur yang menunaikan janji memberikan duit raya kepada semua.
Terdahulu ketika mengakhiri persembahan lagu raya popularnya, Satu Hari Di Hari Raya pada Konsert Cipta 2 di Axiata Arena pada Oktober tahun lalu, Icon Entertainment menjatuhkan ribuan sampul duit raya mengandungi RM1 dari atas bumbung stadium. – HIBGLAM