Suka bertanding, Idayu cuba nasib di X Factor Indonesia

SUKA mencabar diri dengan menyertai pertandingan nyanyian, penyanyi Idayu mendedahkan dalam misi mencuba nasib untuk lolos ke program X Factor Indonesia pada akhir tahun ini.

Idayu atau nama sebenar Nur Farah Idayu Yaakob, 40, berkata tidak dipilih sebagai peserta rancangan realiti popular tempatan bukan penamat usahanya untuk menyerlahkan bakat.

“Walaupun sudah hampir dua dekad menyanyi saya sentiasa teruja menyertai pertandingan. Saya mahu tahu sejauh mana kemampuan vokal berbanding ketika menyertai program Akademi Fantasia (AF) sekitar 18 tahun lalu.

“Sebelum ini saya juga pernah ke uji bakat dalam program realiti lain termasuk One In A Million dan Gegar Vaganza (GV) tetapi tidak berjaya.

“Mungkin selepas masuk program X Factor Indonesia, baru orang akan pandang bakat saya dalam bidang nyanyian,” katanya ketika ditemui pada sidang media An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah, baru-baru ini.

Tidak kisah berdepan sikap skeptikal segelintir individu yang mempertikaikan pilihannya itu, kata Idayu terpulang kepada pihak luar untuk memberikan pandangan.

Akuinya dia sendiri berani ingin mencuba, biarpun sudah belasan tahun berada di arena seni tidak bermakna seseorang penyanyi harus berhenti menyertai pertandingan.

“Cakaplah apa sahaja, tak jadi kudis pun jika ada yang mengata. Ini pilihan saya, keluarga pun bagi sokongan padu,” ujarnya.

Begitupun, akui juara AF Megastar 2017 itu, masih ramai menyuntik sokongan bahkan ada dalam kalangan pengikut nampak tujuannya bertarung di pentas terbuka.

“Saya juga tengok komen netizen yang ‘mengamuk’ bila dapat tahu saya gagal dalam uji bakat program realiti sebelum ini.

“Bagi saya apa yang penting, netizen nampak dan terima bakat saya dalam bidang nyanyian,” katanya.

Bagaimanapun, kata guru vokal terbabit, dia menyedari senario pertandingan nyanyian era sekarang berbeza dengan dahulu.

“Memang saya kecewa apabila gagal dalam uji bakat program realiti TV tetapi percaya saya kena usaha dengan lebih gigih.

“Penganjur mungkin pilih kriteria yang dimahukan dan bukan tengok pada bakat. Inisiatif saya pula mungkin cuba ubah dari segi penampilan, lebih ‘fit’ dan sebagainya lagi,” katanya.

Mengenai An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah, persembahan tersebut bakal berlangsung di Park Inn by Radisson Putrajaya pada 21 dan 22 Jun ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok