IBARAT sarang tebuan jangan dijolok, pelakon Nabila Huda tidak lagi membendung amarah terhadap ibu tirinya, Norhasniza Hassan atau lebih dikenali sebagai Nourish.
Menurut Nabila atau lebih mesra disapa sebagai Abil, segala konflik yang melanda antara dia dan bapanya, Datuk Amy Search adalah berpunca daripada ibu tirinya sendiri.
“Sebenarnya, saya dan papa tak ada masalah langsung dari dulu sampai sekarang. Kami tak pernah bergaduh, saya takut orang salah anggap. Orang ingat saya asyik bergaduh dengan papa sahaja tak habis-habis. Kami sentiasa okey dan tiada pergaduhan besar. Cuma, masalahnya ‘si polan’ itu.
“Siapa dia? Saya rasa jijik nak dengar status itu (ibu tiri), sangat menjijikkan. Saya minta maaf, saya rasa nak muntah dengar status itu.
“Saya cuma ada seorang emak dan dia adalah cinta pertama papa saya. Mungkin saya boleh panggil dia (ibu tiri) sebagai ‘perempuan itu’,” katanya ketika ditemui usai tayangan perdana filem Gayong, malam tadi.
Abil turut memberi amaran kepada ibu tirinya supaya menghentikan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi.
“Wahai ‘perempuan itu’ saya nak awak tahu , saya tahu semua rahsia awak. Saya tahu semua yang berlaku dan ada segala-galanya (bukti).
“Jadi, berhentilah buat apa yang awak sedang buat sekarang. Kita ini tak kisahlah status tinggi mana, yang penting adalah adab.
“Untuk pengetahuan awak wahai ‘perempuan itu’, satu industri bencikan awak. Semua orang tak selesa dengan awak, tapi macam saya kata, awak ada lagi peluang untuk perbetulkan keadaan.
“Awak jangan risau, saya memang tiada niat untuk merampas harta papa saya. Saya berdiri dengan diri sendiri dan tak perlukan semua itu.
“Saya cuma perlu untuk menumpang kasih seorang ayah sahaja. Kenapa susah untuk awak terima, berhentilah untuk cemburu, buanglah sikap busuk hati, kita ini hidup sementara sahaja.
“Sebelum apa-apa yang berlaku, lebih baik hentikan sebelum lebih ramai siasat siapa diri awak yang sebenar. Siapa makan cili, dia terasa pedas. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga,” ujarnya.
Terdahulu, Abil memuat naik video dia berpelukan dan mencium bapanya yang ditemui secara kebetulan di syarikat Media Prima selepas lebih setahun tidak berjumpa.
Hubungan Abil dan Amy renggang akibat konflik kekeluargaan. – HIBGLAM