‘Didiagnos kanser payudara, raya kali ini berbeza’

“RAYA kali ini lebih emosi sebab awal tahun ada ahli keluarga rapat saya didiagnos kanser payudara.”

Demikian perkongsian penyanyi Sufian Suhaimi yang memaklumkan seorang saudara terdekat disahkan menghidap barah tahap tiga.

Bagaimanapun, Sufian, 33, enggan mendedahkan identiti famili dimaksudkan selain bersyukur ujian dilalui mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan.

“Jadi terkejut bila dapat tahu, hari yang gelap awal-awal. Masing-masing masih lagi sukar terima hakikat macam mana boleh terjadi dan apa puncanya.

Namun, kami reda dan alhamdulillah dia sangat kuat. Nampak perkembangan baik selepas beberapa kali menjalani kemoterapi walaupun bulu mata dan rambut sudah gugur.

“Hikmah di sebalik ujian, kami sekeluarga jadi lebih rapat. Saudara-mara yang jauh ramai datang menziarah, walaupun berat tetapi tahun ini sangat bermakna kerana dapat bina ukhuwah keluarga lebih rapat dan kuat,” katanya kepada HibGlam semasa majlis Ritma Riang Raya 2025 bersama Rusa Music, baru-baru ini.

Dalam masa sama, pelantun lagu Di Matamu  itu bersyukur apabila ahli keluarganya itu menunjukkan perkembangan baik dan berpendapat sokongan keluarga serta rakan memang penting di saat genting.

“Alhamdulillah, perkembangan dia sangat baik dan doktor cakap proses penyembuhan agak cepat dan harap dia sembuh macam biasa.

Nampak peluang untuk sembuh sangat cerah. Bagi saya penting sebagai keluarga dan kawan-kawan beri sokongan.

“Terima kasih kepada semua yang suntik semangat dari awal tahun dan raya, tak putus orang bagi kata-kata semangat serta datang melawat,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Sufian memaklumkan rutin salam raya pada 31 Mac lalu sangat berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya disebabkan ujian berat ditempuhi keluarga besarnya.

“Memang ini pengalaman yang tidak pernah terbayang akan lalui. Salam raya jadi rutin tetapi tahun ini masing-masing peka dengan kondisi ahli keluarga.

Ucapan raya lebih kepada ‘kalau jadi apa-apa tolong kekalkan silaturrahim bersama keluarga. Adik-beradik jangan gaduh, anak-anak jaga ibu ayah’.

“Jadi, memang satu pengalaman sedih kalau nak diceritakan tetapi raya kali ini sangat berbeza,” jelasnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok