‘Syamsul setuju luang masa dengan anak setiap minggu’

LUPAKAN kisah lama, pelakon dan usahawan Puteri Sarah memilih untuk menjalin hubungan baik dengan bekas suaminya Syamsul Yusof demi bersama-sama menjaga dua anak mereka.

Menurut Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 40, persefahaman tersebut dicapai bagi memastikan anak-anak mendapat kasih sayang dan perhatian yang diperlukan.

“Ya, kami berkawan baik untuk anak-anak sebab mahu lihat mereka gembira. Kami tiada masalah untuk jaga anak-anak bersama walaupun sudah berpisah.

Buang dendam, jangan bermusuh dan kekalkan hubungan yang baik demi anak-anak.

“Kalau orang tanya susah ke buang dendam? Bagi saya, ‘just let go’, sibukkan diri dan gembirakan diri sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjurannya di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, semalam.

Dia juga bersyukur kerana memiliki keluarga dan keluarga mertua yang menjadi tulang belakang dalam urusan membesarkan anak-anak.

Saya juga cakap kepada dia (Syamsul), setiap minggu kena jumpa dan luangkan masa dengan anak-anak, Syamsul setuju.

“Keluarga Sarah dan keluarga mertua, main peranan masing-masing.

“Mereka sangat membantu dan memudahkan dalam segala hal,” katanya lagi.

Pada masa sama, Sarah kini memilih memperlahankan kerjaya lakonan bagi memberi tumpuan kepada perniagaan dan keluarga.

Memang susah nak bahagi masa, saya kurangkan aktiviti lakonan dan lebih kepada perniagaan sebab itu sumber pendapatan.

“Jadi, saya pun akan ada banyak masa dengan anak,” ujarnya.

Terdahulu, Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Sumayyah, 5.

Namun pasangan ini berpisah pada 14 Jun 2023. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok