PELAKON Amy Nur Tinie mendedahkan pernah ditawar menjadi isteri ketiga seorang lelaki berpangkat ‘Datuk’ .
Kata Amy Nur Tinie atau nama lengkapnya, Amy Nur Tinie Abdul Aziz, 29, tawaran tersebut diterimanya ketika berusia 23 tahun semasa masih aktif menyertai pertandingan ratu cantik.
“Sebelum berlakon saya aktif menyertai pertandingan ratu cantik. Perbelanjaan agak besar untuk menyertai pertandingan di luar negara, jadi perlu minta tajaan syarikat korporat.
Bagaimanapun, seorang datuk ini mahu menaja saya dengan syarat menjadi isteri ketiganya. Dia juga tawarkan kesenangan seperti rumah. Terkejutlah, ibu terus kata ‘saya bukan mahu jual anak’.
“Sudahlah lelaki itu sebaya bapa saya. Jika jenis yang gelap mata nampak duit saja mungkin akan terimalah tawaran itu.
Saya tidak sanggup, saya rela kerja siang malam demi rezeki yang halal kerana saya menanggung keluarga. Tidak mungkin saya mahu beri duit hasil tidak berkat kepada keluarga” kata Tinie yang juga Juara Miss Eco International 2019 yang berlangsung di Mesir.
Dalam pada itu, bakat lakonan Tinie semakin diterima selepas lima tahun berada dalam industri seni.
Tinie yang telah membintangi empat filem dan lebih 12 buah drama kini menarik perhatian khalayak apabila membawakan watak penyondol bernama Rafizah dalam drama Dia Imamku yang kini bersiaran di Astro.
“Sebelum ini saya kerap ditawarkan watak hantu sebab mata dan rambut yang panjang. Sekarang pula saya bawa watak penyondol. Kalau buat live dalam TikTok ramai benci saya.
Pelbagai komen dan tohmahan saya terima sampai ada yang kata mahu tarik rambut kalau jumpa di luar (ketawa).
“Walaupun dibenci saya seronok, ini bermakna lakonan saya menjadi. Cuma saya harapkan selepas ini diberikan watak lebih mencabar,” ujar Tinie yang turut membintangi filem 6 Jilake.
Tambah Tinie yang juga seorang pengacara, meskipun latar belakangnya ratu cantik, dia mengimpikan terbabit dalam naskhah aksi.
“Saya mahu tinggalkan imej ratu cantik. Saya mahu orang nampak saya sebagai pelakon yang versatil bukan sekadar cantik semata-mata.
Meskipun terjun ke dunia lakonan tanpa dirancang, saya telah jatuh cinta. Inilah rezeki saya sekarang. Jika dulu daripada tidak boleh menangis depan kamera, sekarang sudah boleh.
“Saya banyak belajar daripada pelakon senior di set penggambaran dan berharap diberi peluang untuk meneroka lebih banyak watak selepas ini,” tutur Tinie. – HIBGLAM