‘Tak boleh jamah laksa, teringat arwah ayah’ 

PENYANYI Luqman Faiz mengakui tidak tergamak menjamah laksa sejak arwah bapanya meninggal dunia.

Menurut Luqman atau nama lengkapnya Luqman Abdul Halim Faiz, 25, ada kisah pilu yang terjadi dalam hidupnya melibatkan laksa dan arwah bapanya.

“Saya masih ingat ketika itu saya sedang main ‘game’. Kemudian ayah saya ajak temankan dia pergi beli laksa tetapi saya tidak ikut dan terus main.

Akhirnya ayah pergi sendiri dan pulang membawa laksa dan dibeli juga untuk saya. Dua minggu selepas itu ayah kembali dijemput ilahi.

“Sehingga hari ini saya rasa menyesal kerana tidak menemaninya. Saya tak boleh maafkan diri saya. Sejak arwah ayah meninggal dunia, memang saya tak boleh nak makan laksa. Setiap kali tengok laksa saya akan teringat arwah,” katanya sambil mengalirkan air mata.

Pelantun lagu Kepuraanmu itu juga masih menyimpan mesej kiriman terakhir arwah bapa tersayang yang meninggal dunia ketika umurnya 16 tahun akibat sakit kanser.

Arwah ayah hantar mesej pesanan terakhirnya kepada saya sewaktu dia terlantar di hospital. Dia minta saya dengar cakap ibu dan jangan banyak main ‘game’. Dia seolah-olah sudah tahu akan pergi buat selamanya ketika itu,” kongsinya.

Beralih ke soal kerjaya seni pula, Luqman kini lebih aktif sebagai penganjur acara berbanding penyanyi. Namun dia tidak sekali-kali bercadang untuk meninggalkan karier nyanyian.

“Minat untuk ceburi bidang perniagaan ini timbul sejak saya sambung belajar dalam ijazah sarjana pengurusan acara. Jadi saya kini banyak anjurkan acara hiburan seperti konsert bersama rakan niaga saya.

Saya tidak tinggalkan terus bidang nyanyian. Saya cuma rehat sekejap untuk sambung belajar dan kini sibuk dengan perniagaan.

“Saya baru sahaja lancar lagu raya  bersama artis-artis naungan Aries Music berjudul Jom Balik Kampung,” katanya yang  merancang tampil dengan lagu solo tahun ini.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok