PENYANYI Datuk Nora Ariffin mengejutkan ramai apabila didakwa hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat yang dipercayai untuk memfailkan perceraian terhadap suaminya, Dr. Rushdi Ramli.
Menurut Nora, 53, permohonan tersebut dilakukan untuk memenuhi kehendak isteri pertama Dr. Rushdi yang mahu dia berpisah.
Saya buat permohonan ini bukan atas kehendak hati kerana tahu berdosa tapi disebabkan ingin menunaikan hajat isteri pertama dari dulu lagi iaitu Ustazah Rose Aliza Sutrisno.
“Dia yang mahu kembali monogami dan juga atas desakan anak atau orang ketiga (saya ada bukti) supaya kami berpisah,” katanya dalam Instagram hari ini.
Nora berharap tindakannya itu diterima suaminya dan doa isteri pertama termakbul.
“Buat ustazah, moga ramadan kali ini doa ustazah akan termakbul. Harap ustaz pun akan ikut saja.
Sebagai mana lafaz talak yang pertama dulu iaitu selepas kami bersama, solat subuh, dapat panggilan, desakan daripada orang ketiga dan ustaz ceraikan saya serta-merta termasuk membuat rakaman lafaz cerai sebagai bukti.
“Allah sahaja yang tahu,” katanya lagi.
Tambah Nora, kenyataan Ustaz Rushdi baru-baru ini yang memuji dirinya juga didakwa sudah disunting oleh pihak lain.
“Malah kenyataan jujur terbaharu ustaz pun diminta oleh orang terdekat untuk disunting.
“Allahuakbar. Moga Allah SWT ampuni dosa-dosa saya,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Nora pada Ogos tahun lalu diceraikan dengan talak satu oleh suaminya menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagramnya.
Mengejutkan ramai, Nora atau nama penuhnya Wan Norafizah Wan Ariffin, memuat naik video Dr. Rushdi melafazkan cerai dan memberitahu segala-galanya sudah selesai.
Nora atau Wan Norafizah Ariffin mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya pada Disember 2021. – HIBGLAM