Datuk Red selamat bernikah, Rohanita wanita pilihan hati

USAHAWAN yang juga bekas suami penyanyi Adira Suhaimi iaitu Datuk Red kembali bergelar suami selepas selamat bernikah dengan wanita pilihannya, Rohanita dalam sebuah majlis tertutup dipercayai di ibu negara hari ini.

Red atau nama sebenarnya Adnan Abu, 46, menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 dan dilihat memakai busana lengkap berwarna putih warna senada dengan isterinya.

Dalam sebuah hantaran TikTok, Red memuat naik video romantis berpegangan tangan dengan Rohanita, 35, yang sudah secara rasmi menjadi isterinya.

Red juga berkata, dipertemukan dengan Rohanita yang memahami dan menerima segala kekurangannya.

“Dia tahu susahku, kekuranganku dan kebencian orang terhadapku tetapi dia memilih untuk tidak pergi.

“Terima kasih isteriku menerima lelaki yang gagal segala- galanya. Sayang Rohanita hingga akhir hayatku,” katanya dalam ruangan kapsyen.

Difahamkan, Rohanita merupakan seorang ibu tunggal kepada seorang cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu.

Sementara ruangan komen hantaran sama turut dibanjiri dengan ucapan tahniah daripada orang ramai yang mendoakan perkahwinannya kali ini berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Alhamdulillah semoga kekal hingga ke syurga.

“Kami tumpang gembira, semoga berkekalan!” komen netizen.

Terdahulu, Red bercerai dengan isteri pertamanya, Datin Seri Sharifah Norshafila Hashim (Datin Red) dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Selangor pada 13 Mei 2024.

Tidak lama kemudian, Red bercerai talak satu dengan Adira pada penghujung April 2024.

Sebelum itu, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan dengan Adira, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok