Hikmah kontroversi, Nabil Ahmad teman isteri beli barang dapur

SELEPAS dihimpit kontroversi sehingga digantung kerja, pelawak dan penyampai radio, Nabil Ahmad kini lebih banyak meluangkan masa bersama keluarga sekali gus mengundang reaksi positif netizen.

Menerusi hantaran dalam Instagram, isterinya, Nazirah Ayub berkongsi momen keluar membeli barangan dapur.

Kelihatan Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad,41, turut sama membantu memilih barang dapur termasuk bahan-bahan untuk menyediakan roti john untuk berbuka puasa.

Alhamdulillah, rajin dia ke pasar. Kan ada hikmah tu,” tulis Zira.

Tindakan pengacara MeleTOP itu mendapat pujian ramai yang menganggap situasi itu sebagai satu hikmah tersembunyi dalam kehidupannya.

“Kadang-kadang ujian datang sebab Allah nak beri sesuatu yang lebih baik. Kena reda dan ambil iktibar,” komen netizen.

Dulu sibuk kerja sampai tak cukup masa dengan keluarga. Sekarang nampak makin bahagia,” tulis pengguna media sosial.

“Tak ada kerja radio, tapi ada masa ke pasar. Rezeki Allah luas. Kali ini dapat cuti tak payah mohon, sakan la beraya,” kata netizen lain.

Terdahulu, Nabil bersama pelawak Azad Jasmin dan penyampai radio Radin dikecam selepas tular video memperlihatkan mereka bergurau dengan menyebut ‘Vel Vel’, dipercayai mempersendakan ritual masyarakat Hindu.

Insiden itu mengundang kritikan meluas sehingga syarikat penyiaran Maestra Broadcast Sdn. Bhd. dikenakan kompaun RM250,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Namun, SKMM memutuskan tidak menggantung lesen stesen radio terbabit selepas mempertimbangkan beberapa faktor.

Menyedari kesilapan, Nabil, Azad dan Radin tampil memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat Hindu atas tindakan mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok