Percayalah banyak iktibar, kena tonton sampai habis – Elisya Sandha

‘Mungkin belum nampak keseluruhan mesej, tonton sampai habis’

MESKI teruk dihentam gara-gara drama Madu Atau Racun, pelakon Elisya Sandha tampil mempertahankan diri dengan menyifatkan karya lakonannya itu sarat dengan mesej dan pengajaran untuk direnungi penonton.

Elisya, 27, berharap orang orang tidak terlalu awal membuat kesimpulan memandangkan banyak iktibar dapat diambil menerusi jalan cerita drama berkenaan dengan mengikuti keseluruhan perjalanan naskhah 12 episod itu.

“Banyak benda yang kita boleh ambil sebagai iktibar daripada cerita ini.

Mungkin sekarang kita belum nampak keseluruhan mesej, namun percayalah kena tengok sampai habis kerana ada ketika ia lebih daripada sebuah cerita,” ujarnya dalam perkongsian di media sosial.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, mesej yang cuba diketengahkan menerusi Madu Atau Racun mungkin tidak dapat dilihat secara menyeluruh pada awal penceritaan, namun akan menjadi lebih jelas apabila naratifnya semakin berkembang.

Malah, akui Elisya yang membawakan watak isteri kedua, drama sensasi itu mampu membuka mata penonton untuk melihat sesuatu perkara daripada perspektif berbeza.

“Ia boleh membuka mata orang, mengubah cara melihat sesuatu dan siapa tahu mungkin cerita ini boleh ubah perspektif atau kehidupan seseorang,” ujarnya.

Sejak beberapa lagu drama Madu Atau Racun yang disiarkan di saluran penstriman iQIYImencetuskan perdebatan dalam kalangan penonton selepas didakwa menyelitkan babak menjurus kepada pelakuan LGBTQ.

Malah kontroversi drama yang turut dibintangi Aliff Aziz serta Uqasha Senrose itu juga meraih perhatian Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menolak penayangan drama tersebut kerana menimbulkan keresahan serta kontroversi dalam kalangan masyarakat.

Menterinya, Zulkifli Hasan berkata, pihaknya amat kesal atas tindakan menyerapkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat mahupun tersirat.

Sementara itu, David Teo selaku penerbit tidak dapat dihubungi bagi mengulas istu itu kerana berada di luar kawasan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok