‘Doa orang ramai mengiringimu, Syed Saddiq’

MENJELANG rayuan kes pecah amanah didengar di Mahkamah Rayuan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerima kata-kata semangat daripada pelakon Bella Astillah.

Menerusi hantaran di Instagram, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah memuat naik gambar bersama Syed Saddiq dengan kapsyen ringkas menyatakan sokongan moral.

“Doa orang ramai mengiringimu, Syed Saddiq,” tulisnya.

Sementara itu, Syed Saddiq dalam satu perkongsian dalam Instagram memberi bayangan sudah bersedia menghadapi prosiding mahkamah kerana yakin berada di pihak benar.

“Berani kerana benar. Saya tidak sabar untuk mempertahankan integriti di mahkamah.

“Tiada senjata lebih kuat daripada doa kepada Allah SWT, khususnya pada hari istimewa ini,” katanya.

Rata-rata netizen turut menitipkan sokongan dan berharap keadilan berpihak kepada bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

“Semoga dipermudahkan segala urusan. Jika tidak bersalah, pasti akan terbukti,” kata seorang netizen.

“Allah bersama orang yang benar. Kuatkan semangat, YB!” komen pengguna media sosial.

“Bella pun beri semangat. Semoga segalanya berjalan lancar buat Saddiq,” tulis seorang lagi netizen.

Terdahulu, Syed Saddiq, 32, memaklumkan proses rayuan sudah bermula selepas menerima penghakiman bertulis daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah sebelum ini mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Pada 9 November 2023, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta ke atas Syed Saddiq.

Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

Sebelum ini, nama Syed Saddiq dan Bella dikaitkan selepas mereka bekerjasama dalam kempen jenama pakaian tempatan. Malah, ahli politik kelahiran Johor itu turut muncul dalam video muzik Bella berjudul Tapi Bukan Denganmu.

Untuk rekod, Bella merupakan ibu tunggal kepada dua cahaya mata selepas perkahwinannya dengan Aliff Aziz berakhir dengan perceraian pada 13 Jun tahun lalu. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok