Bella Astillah sertai Syed Saddiq tamatkan Misi Larian Kesyukuran

MEMBERI sokongan kepada tunang Ahli Parlimen Muar iaitu Syed Saddiq, penyanyi Bella Astillah tidak melepaskan peluang menyertai Misi Larian Kesyukuran.

Melalui penglibatan tersebut, Bella atau nama lengkapnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, turut berjaya mencatat rekod peribadi baharu apabila berjaya menamatkan larian sejauh 17 kilometer (km).

“Hari ini pencapaian peribadi saya. Larian pertama 17km, sebelum ini paling jauh pun hanya 8km.

Saya sertai larian ini sebagai tanda sokongan dan solidariti untuk Misi Larian Kesyukuran YB Syed Saddiq.

“Walaupun saya agak lambat sedikit saya tetap gembira dapat sama-sama mengambil bahagian,” katanya dalam Instagram.

Pelantun lagu Lebih Indah Berpisah itu dipercayai mula menyertai dan memulakan larian berkenaan dari Merlimau, Melaka sehinggalah ke garisan penamat di Muar, Johor.

Dalam masa yang sama, Bella berharap agar dana yang berjaya dikumpulkan hasil daripada misi larian tersebut dapat mempermudahkan urusan golongan yang memerlukan di kawasan terbabit.

“Tahniah kepada YB Syed Saddiq kerana berjaya mengumpulkan lebih dari sasaran hasil sumbangan orang ramai melalui larian ini.

“Semoga segala usaha dan sumbangan yang diberikan membawa manfaat kepada lebih ramai yang memerlukan, insya-Allah,” katanya lagi.

Sementara itu, Saddiq menerusi ruangan komen menzahirkan ucapan penghargaan atas kesudian Bella turun padang memberikan sokongan moral.

Terima kasih kerana turut serta, pembakar semangat terbaik,” komennya.

Hari ini, pemilik nama lengkap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bukan sahaja berjaya menamatkan cabaran hampir 170 kilometer, malah turut mencatat kejayaan apabila kutipan dana mencecah RM361,848, jauh mengatasi sasaran awal RM200,000.

Syed Saddiq menamatkan larian tersebut di Laman Maharani di sini kira-kira pukul 9.15 pagi tadi selepas memulakan larian terakhir sejauh 17 kilometer dari Simpang Sungai Rambai pada pukul 7 pagi.

Larian Kesyukuran tersebut bermula pada 16 Julai lalu dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya sebelum merentasi Negeri Sembilan dan Melaka menuju ke Muar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok