Awie ucap ‘selamat pengantin baharu’ in advance buat Erra, Mr. E

Tumpang gembira mendapat khabar rakan lama, Erra Fazira sudah menemui teman baharu, Datuk Awie mendoakan agar jodoh aktres pelakon dan penyanyi itu dipercepatkan.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 57, berkata, sudah tiba masa untuk Erra melangkah ke fasa seterusnya dengan lelaki pilihan selepas sekian lama hidup sendirian.

“Alhamdulillah, kalau betul berita itu saya pun gembira. Eloklah mereka bersatu agar dapat saling menjaga antara satu sama lain.

Jangan buang masa lagi. Fikirkan masa depan yang lebih baik dan hidup dalam keadaan aman damai serta berkasih sayang.

“Perkara lama dibuang dan hidup bersama yang baharu,” katanya kepada Kosmo! Online ketika majlis berbuka puasa bersama Rumah Produksi Merah bersempena pengumuman konsert ulang tahun ke-40 Wings, malam tadi.

Mengakui hanya mengetahui berita tersebut menerusi media sosial, vokalis Wings itu menganggap Erra dan lelaki yang kini rapat dengannya, Ezwan Zain atau Mr. E sebagai pasangan secocok.

Bahkan, Awie juga melihat Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu tampak serasi apabila bersama usahawan terbabit.

“Memang Erra tak berkongsi perkembangannya dengan saya, apatah lagi membabitkan hal peribadi tetapi cerita mereka banyak diperkatakan dalam media

“Saya nampak lelaki itu muda sedikit dari Erra, namun saya rasa mereka sangat serasi kerana Erra kan keras sikit, manakala lelaki itu pula nampak lebih tenang.

Dalam kekerasan ada ketenangan di situ,” ujarnya mengulas mengenai pasangan sensasi terbabit.

Secara spontan, Awie juga tidak ketinggalan menzahirkan ucapan awal selamat pengantin baharu buat pasangan tersebut.

“Mungkin kahwin nanti saya tak dijemput, jadi saya nak ucapkan dahulu selamat pengantin baharu.

“Selamat maju jaya Erra dan selamat pengantin baharu ‘in advance’,” katanya.

Terdahulu, gosip percintaan antara aktres itu dengan ahli perniagaan tersebut tajuk portal berita biarpun pada awalnya Erra lebih selesa berteka-teki mengenai status hubungan mereka.

Begitupun, baru-baru ini Ezwan mendedahkan mereka mula rapat sejak Ogos tahun lalu, selain mahu membawa hubungan mereka ke fasa seterusnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok