‘Apek bukan lelaki gatal, kami dah macam adik-beradik’

PINGGANG dirangkul Saiful Apek, pempengaruh Kak KM memohon orang ramai berhenti mengecam pelawak itu memandangkan kejadian tersebut berlaku secara tidak sengaja.

Malah, pemilik nama sebenar Liana Rosli, 44, memaklumkan suaminya turut berada di hadapan mereka, selain sangat menghormati pelawak lagenda terbabit.

“Jangan kecam abang Apek. Kasihan, dia tak biasa kena kecam. Benda itu spontan. Saya cakap kepadanya tak kisahlah kena kutuk kerana benda itu sekejap sahaja.

Kami dah macam adik-beradik. Suami saya pun ada di situ dan nampak kejadian tersebut memang spontan serta tak nampak macam dia (Apek) nak ambil kesempatan.

“Apek ada isteri dan anak serta sudah berhijrah. Saya juga menghormatinya,” katanya kepada HibGlam semasa sidang media Gerobok Biru Gegak Gempita Raya, semalam.

Dalam masa sama, anak kepada pelakon senior Normah Damanhuri itu sudah menganggap Saiful sebagai abang dan selesa bersamanya.

Sebenarnya, saya selesa dengannya sebab dia (Apek) bukan lelaki gatal yang cuba nak ambil kesempatan. Kalau jumpa lelaki gatal saya akan jauhkan diri.

“Ketika insiden itu, dia datang jumpa mama (ibu) saya, bersalam dan cium tangan semua. Dia seperti abang saya sahaja,” kongsinya.

Mengulas lanjut, Kak KM menyifatkan Saiful sebagai individu yang baik dan mempunyai penampilan menarik walaupun pertama kali berjumpa.

Bagi saya, dia (Apek) seorang yang baik, cakap lembut dan tidak menyakiti hati orang lain serta ‘good looking’ (tampan).

“Dia juga beritahu suka menonton video bagaimana saya melayan mama (ibu) dengan baik yang di muat naik dalam media sosial,” jelasnya.

Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan Saiful berpelukan dengan Kak KM yang didakwa bergambar dalam sebuah majlis.

Tindakan tersebut mencetuskan kecaman netizen malah pendakwah bebas PU Syed turut menegur dan menitipkan nasihat tentang batas pergaulan bukan mahram.

Selepas itu Apek juga tampil memohon maaf atas ketelanjuran perbuatannya dan berharap insiden berkenaan tidak lagi dipanjangkan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok