‘Pandai anak mama berdikari, dah ada produk sendiri’

BANGGA dengan pencapaian anak, pelakon Abby Abadi memuji puterinya, Marissa Dania yang kini sudah memiliki perniagaan sendiri.

Abby atau nama asalnya Arbaiyah Abdul Manan, 47, juga teruja apabila Marissa yang dulu pemalu mampu melakukan siaran langsung dalam laman sosial bagi mempromosikan produk jualan.

Hebat anak mama, nampak sangat berdikari. Pandai bawa diri tanpa mengharapkan siapa-siapa.

“Daripada tak pandai serba-serbi, malu dan tidak mahir bersembang sangat sampai dah ada produk sendiri serta pandai buat siaran langsung sekarang,” katanya dalam hantaran Instagram.

Perkara tersebut turut mengingatkan pelakon drama Gerak Khas itu tentang perjalanannya ketika mula berniaga dalam platform TikTok.

“Samalah dengan mamanya pun, zaman TikTok lambat mulanya berjualan secara siaran langsung ini.

Sebab segan sebenarnya, tak pandai nak bersembang lama-lama. Takut syok sendiri.

“Sudahnya jalani sahaja, kena kuatkan diri, kuat semangat. Kita semua boleh, Malaysia boleh!,” jelasnya.

Abby turut memohon orang ramai mendoakan perjalanan hidup keluarganya lancar dalam mencari rezeki.

Semoga ada jalan yang baik untuk kami mencari rezeki. Doakan yang baik-baik okey semua.

“Mana yang kurang harap diberi peluang,” tuturnya lagi.

Sebelum ini, Marissa pernah mendedahkan dirinya seorang introvert iaitu pemalu atau selesa melakukan banyak perkara secara bersendiri.

Pun begitu, dia mengakui meminati bidang perniagaan dan tidak menolak menjadi usahawan.

Meninjau Instagram pempengaruh berusia 19 tahun itu, dia kini mengeluarkan tudung di bawah jenamanya sendiri. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok