EMPAT tahun melayari rumah tangga bersama pelakon Intan Ladyana, penyanyi dan pengacara Harris Alif mendedahkan pernah berdepan pelbagai godaan daripada wanita lain termasuk rakan industri sendiri.
Pun begitu, Haris atau nama sebenarnya Nor Harris Alif Nor Rashidi, 26, memilih untuk tidak melayan sebarang gangguan, apatah lagi menyedari statusnya sebagai suami dan bapa kepada dua cahaya mata.
“Sudah tentu ada gangguan. Tapi semuanya kembali kepada diri sendiri. Kalau kuat menangkis, insya-Allah tidak timbul sebarang masalah.
“Godaan masih ada walaupun selepas berkahwin. Ada yang kata suami orang lebih bertanggungjawab. Malah, ada juga rakan artis yang mencuba nasib.
“Tapi saya ambil pendekatan untuk tidak terlalu melayan. Kalau layan lebih-lebih, nanti menimbulkan masalah pula. Saya sedar status sebagai suami orang, jadi kena kawal diri,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelantun lagu Terindah itu lagi, gangguan paling teruk diterima adalah menerusi mesej langsung (DM) dalam Instagram, termasuk kiriman gambar tidak senonoh daripada wanita tidak dikenali.
“Macam-macam jenis gambar diterima. Mengucap panjang dibuatnya. Kadang-kadang, tidak sedap mata memandang, lebih-lebih lagi apabila dihantar oleh perempuan.
“Ada dalam lingkungan usia 20-an hingga 30-an. Yang remaja pun ada, tapi mungkin mereka tidak menghantar gambar keterlaluan,” dedahnya. – HIBGLAM