SEMANGAT berganda, permulaan tahun baharu disambut pelakon dan pengarah Farid Kamil dengan pelbagai perancangan baik dari segi kerjaya, mahupun kehidupan.
Tidak melihat 2024 sebagai tahun hitam, sebaliknya bapa kepada dua cahaya mata itu menganggap segala yang berlaku sebagai ujian sekali gus mendorongnya menjadi insan lebih baik.
Demi mempertingkatkan lagi diri, pemilik nama sebenar Farid Kamil Zahari, 43, itu bakal menyambung pengajian peringkat Sarjana di Universiti Malaya pada Mac depan jika permohonannya diterima.
Katanya, pertemuan dengan 100 alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini menjadi pencetus untuknya mencabar diri kembali ke kuliah.
“Insya-Allah saya akan menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya sekitar dua bulan lagi andai permohonan saya diluluskan.
Sebenarnya saya berasa rendah diri apabila rata-rata alumni UiTM ketika perhimpunan yang saya hadiri memiliki tahap pengajian sekurang-kurangnya ijazah sarjana.
“Balik dari majlis itu saya rasa seperti sudah ketinggalan dan saya sahaja yang ada ijazah sarjana muda. Jika ada rezeki saya mahu sambung hingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) pula,” katanya.
Ditawarkan mengajar
Sebelum ini, bintang Anwar: The Untold Story itu pernah diajukan tawaran mengajar di sebuah universiti swasta, namun terpaksa ditolak.
Ini kerana, Farid merasakan ilmu sebagai pelakon dan pengarah belum cukup untuk dikongsikan, selain ingin menyambung pengajian dahulu.
Terima kasih kepada pihak yang pernah mempelawa saya mengajar di tempat mereka, mungkin bukan sekarang.
“Perjalanan saya masih jauh, saya kena isi dulu ilmu. Selagi belum ada PhD, saya tak rasa apa yang saya ajarkan nanti menjadi pengisian efektif buat pelajar,” ujarnya.
Farid adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Seni Layar) UiTM pada 2010, manakala di peringkat diploma dia mengambil jurusan Seni Lakon Teater.
Akuinya, tahun ini juga kesibukannya bakal berganda apabila dia akan mengarahkan sekuel Remp-it selepas 19 tahun filem genre aksi itu ditayangkan di pawagam. – HIBGLAM