‘Tak diet untuk banyak susu, anak kenyang mommy happy’

MESKIPUN bentuk badan bukan lagi ideal, pelakon Puteri Aishah tidak ambil pusing sebaliknya lebih cenderung fokus terhadap penghasilan susu buat anak sulungnya.

Pemilik nama lengkap Puteri Aishah Sulaiman, 31, itu memaklumkan mengambil makanan dalam kadar sederhana tanpa melakukan diet bagi mendapatkan kembali berat badan asal.

“Sejujurnya, ini bukan bentuk badan saya yang terbaik.

Saya sedang menyusukan anak, tak jaga sangat diet tetapi saya makan secara sederhana.

“Saya makan untuk dapat banyak susu, bila susu banyak Faliq (anak) pun kenyang dan gembira. Bila dia gembira, mommy pun turut gembira,” katanya dalam InstaStory.

Dipuji berat badan masih kekal cantik walaupun selepas melahirkan anak, pelakon filem Pulang itu bagaimanapun menyangkal kenyataan tersebut selain mengakui terpaksa membeli baju baharu gara-gara perubahan fizikalnya.

“Siapa kata saya ‘maintain’? Saya pun ada baju tak muat dan terpaksa beli pakaian baharu.

Jangan risau ibu-ibu semua, sekejap sahaja kita berisi. Nanti lagi setahun dua kita kurus balik okey.

“Sekarang ini kita berseronok sahaja dengan badan berisi sebelum kurus. Anak-anak dan suami pun suka peluk,” jelasnya.

Aktres yang baru sembilan bulan menimang cahaya mata itu berkongsi perkara tersebut selepas diajukan pelbagai persoalan daripada pengikutnya dalam Instagram.

Rata-rata menzahirkan rasa kagum terhadap pelakon itu yang mampu mengekalkan berat badan walaupun selepas melahirkan zuriat.

Puteri mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Muhammad Firdaus pada November 2021.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Faliq pada 4 April tahun lalu. – HIGBLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok