Selama ini membisu, DJ Khaled minta orang doakan Los Angeles

PENERBIT album juga penyanyi rap terkenal antarabangsa, DJ Khaled meraih kecaman ramai apabila sempat meluangkan masa mengajak khalayak mendoakan kesejahteraan bandar Los Angeles yang kini hangus dijilat api.

Ironi, Khaled atau nama sebenarnya, Khaled Mohammed Khaled, 50, yang berketurunan Palestin tidak pernah sekali mengeluarkan kenyataan terutama sejak konflik peperangan yang tercetus antara Palestine-Israel sejak 7 Oktober 2023.

“Pray for LA (Doa untuk Los Angeles),” kongsinya menerusi satu hantaran dalam Instastory.

Sehubungan itu, ramai peminat yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemilik label We the Best Music Group. Majoriti daripada mereka menyifatkan pemuzik itu sebagai manusia yang memalukan buat tanah Palestin.

“DJ Khaled berdoa untuk Los Angeles tapi tidak untuk negara tumpah darahnya sendiri (Palestin).

Membisu tentang Palestin, Khaled bagaimanapun sempat meluangkan masa memuat naik hantaran tentang kebakaran buruk yang melanda bandaraya Los Angeles.

“Dia sangat memalukan negara asalnya (Palestin). Tak pernah bercakap tentang Palestin tetapi buat hantaran tentang LA,” demikian antara komen berbaur rasa geram peminat.

Sejak peperangan meletus 7 Oktober 2023 antara Israel dan Palestin, sekurang-kurangnya 46,000 nyawa orang Palestin telah terkorban dengan seramai 109,378 tercedera disebabkan keganasan tentera Zionis.

Jumlah korban akibat kebakaran hutan terburuk dalam sejarah California terus meningkat apabila sekurang-kurangnya 13 orang dilaporkan maut setakat ini.

Sementara itu, anggaran awal kerosakan akibat kebakaran di sekitar Los Angeles meningkat kepada antara US$135 bilion dan US$150 bilion. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok