1
HARI ini dipuja, dijulang, esok lusa tidak mustahil pula dihujani jutaan makian.
Realiti pahit itu yang terpaksa ditelan segelintir figura popular seberang yang dahulunya menjadi kegilaan peminat, namun kini status mereka berubah menjadi ‘persona non grata’ di beberapa stesen televisyen gergasi.
Kisah jatuh bangun, pasang surut kerjaya nama-nama besar industri seni Indoneisa menjadi bukti jelas betapa besarnya impak kontroversi dalam menentukan seseorang itu layak untuk terus kekal berada di gelanggang seni ataupun dipadamkan terus daripada ingatan penonton.
HibGlam kali ini menyenaraikan empat selebriti terkenal yang ‘ditendang keluar’ daripada radar dunia penyiaran disebabkan kesilapan dan kecuaian mereka. Ada yang diberi peluang kedua, ada juga yang terpaksa melangkah pergi penuh kesalan.
Saipul Jamil

PENYANYI dangdut, Saipul Jamil pernah meringkuk di dalam penjara selama lima tahun tujuh bulan atas sabitan kes cabul dan rasuah.
Namun, lelaki berusia 45 tahun itu kemudiannya dibebaskan pada 2 September 2021.
Bagai seorang pahlawan, selebriti yang mesra disapa sebagai Bang Ipul itu keluar dari penjara sambil diarak dan dikalungkan dengan bunga.
Meskipun sempat membuat kemunculan semula di televisyen, masyarakat mengecam tindakan tersebut dan mendesak agar pelantun lagu Jujur itu diboikot daripada industri hiburan selama-lamanya.
Pihak KPI tidak mengeluarkan kenyataan bertulis yang melarang Saipul tampil di televisyen tetapi meminta pihak stesen televisyen lebih bijak dan sensitif terhadap mangsa.
Rizky Billar

KES keganasan rumah tangga membabitkan pelakon Rizky Billar yang mengasari penyanyi Lesti Kejora memberikan impak besar terhadap kehidupan peribadi dan kariernya.
Suruhanjaya Penyiaran Indonesia (KPI) meminta semua lembaga penyiaran untuk memboikot pelaku keganasan rumah tangga daripada muncul di stesen televisyen dan radio.
Malah, pemilik nama lengkap Muhammad Rizky terpaksa menelan pil penenang berikutan kecaman hebat daripada masyarakat selain menanggung kerugian besar dalam perniagaan yang diusahakan.
Tidak lama kemudian, Lesti menarik semula laporan polis selain memaafkan suaminya demi masa depan anak mereka.
Pasangan itu turut menandatangani satu perjanjian bertulis di mana lelaki berusia 31 tahun itu berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
Selepas beberapa bulan, Rizky akhirnya kembali muncul di televisyen dan membintangi pelbagai rancangan, termasuk sinetron seperti Aku Mencintaimu Karena Allah dan Senandung Cinta Lilis.
Zaskia Gotik

NAMA penyanyi Zaskia Gotik pernah diboikot pada 2016.
Hal ini berpunca daripada tindakan Zaskia atau nama sebenarnya Surkianih mengeluarkan kenyataan mengejutkan yang didakwanya sekadar gurauan.
Ketika itu, wanita berusia 39 tahun berkenaan menyebut Hari Proklamasi Kemerdekaan Indonesia disambut pada 32 Ogos selain mendakwa logo dalam Pancasila (seakan Rukun Negara) adalah ‘Bebek Nungging’ (itik menonggeng).
Berikutan kenyataan tersebut, Zaskia dilaporkan kepada pihak berkuasa dan berdepan hukuman denda sebanyak 500 juta Rupiah (sekitar RM140,000) atau penjara maksimum lima tahun.
Tidak terhenti di situ, pelantun lagu Bang Jono itu digam stesen televisyen.
Selepas insiden itu reda, dia dilantik menjadi Duta Pancasila dan mencetuskan gelombang pro dan kontra daripada pelbagai pihak.
Malah, beberapa petisyen turut dilancarkan yang mendesak boikot diteruskan selain menuntut gelaran Duta Pancasila tersebut ditarik balik daripada Zaskia.
Nikita Mirzani

DIKENALI sebagai artis sensasi dan penuh kontroversi, Nikita Mirzani pernah disenarai hitam stesen televisyen Indonesia.
Malah, salah satu syarikat gergasi stesen televisyen iaitu MNC Group secara rasmi tidak membenarkan pemilik nama penuh Nikita Mirzani Mawardi itu membuat sebarang kemunculan di saluran berkenaan.
Keadaan semakin buruk pada 2019 apabila KPI mengeluarkan arahan penggantungan terhadap program Hotman Paris Show yang dihoskan Nikian berikutan penyiaran kandungan yang memaparkan konflik dan pertengkaran melibatkan dirinya.
Penyanyi berusia 40 tahun itu tidak lagi aktif dalam mana-mana stesen televisyen kerana sedang menjalani hukuman penjara akibat kes pemerasan dan pelanggaran undang-undang Informasi dan Transaksi Elektronik (ITE).
