‘Hidup ini terlalu singkat untuk dibandingkan dengan orang lain’

DIBANDING-BANDINGKAN dengan Aisha Retno, penyanyi Elica Paujin menyifatkan setiap individu ada cara berbeza dalam mengembangkan kerjaya seni masing-masing.

Menurut Elica, 26, perbandingan sebegitu tidak sepatutnya berlaku selain meminta orang ramai sentiasa berfikiran positif dan terus memberi sokongan terhadap artis kegemaran masing-masing.

Berbeza individu, perjalanan dan waktunya. Hidup ini terlalu singkat untuk terus membandingkan diri dengan orang lain.

“Sebaliknya, raikan setiap kejayaan dan hargai rezeki yang hadir. Semoga Allah SWT mengurniakan hati yang lebih penuh dengan rasa syukur daripada perbandingan, lebih banyak kebaikan daripada penghakiman dan ketenangan daripada segala bentuk negatif.

“Saya cuba memanfaatkan setiap peluang yang datang dan jika diberi peluang untuk berada di seluruh pelosok Malaysia, pasti akan lakukannya,” katanya membalas hantaran seorang pengguna Threads.

Dalam masa sama, dia juga berjanji tidak akan mensia-siakan setiap sokongan yang diberikan rakyat Malaysia terhadap dirinya sejak mula menceburi bidang nyanyian terutama program Big Stage pada 2022.

“Saya masih berusaha ke arah itu dan sangat bersyukur atas segala sokongan yang diterima dari seluruh negara.

Sejak zaman Big Stage sehinggalah hari ini, kasih sayang yang diberikan masyarakat dari setiap penjuru Malaysia amat saya hargai dan tidak akan dilupakan.

“Jadi, bersihkan hati ya. Terima kasih juga atas sokongan dan ingatan,” katanya.

Sedar namanya dan Aisha menjadi sebutan sejak kebelakangan ini, dia menegaskan hubungannya dengan penyanyi lagu Sutera itu kekal baik serta saling menyokong
Kerjaya seni masing-masing.

“Kami saling menyokong antara satu sama lain dan langsung tidak mempunyai sebarang masalah.

“Saya gembira dan bangga melihat pencapaiannya hari ini.

“Biasalah, netizen memang selalu suka buat andaian sendiri,” ujarnya.

Mengimbau semula, Elica merupakan juara Big Stage 2022 sementara tempat kedua disandang Daniel Chuer dan Aisha pula merangkul trofi tempat ketiga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok