Perkataan ‘tunggang’ populariti Fattah tak sesuai, itu rezeki – Amira

TIADA hubungan intim seperti dihebohkan, penyanyi Amira Othman menegaskan kerap dilihat dengan pelakon Fattah Amin hanya disebabkan urusan kerja.

Amira atau nama lengkap Nadia Amira Othman, 31, berkat,a dia enggan orang ramai salah sangka apabila melihat mereka berdua berada di tempat umum.

“Saya tak jangka situasi jadi sampai begini (digosip) tetapi kami tampak rapat hanya atas dasar kerja dalam projek sebelum ini dan sekarang bergandingan pula untuk kempen Jakel.

“Jadi kalau nampak saya dan Fattah keluar bersama, itu semua atas dasar kerja,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman duta Jakel di Jakel Mall, semalam.

Bergandingan sekali lagi dengan Fattah bagi kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025, mereka berdua meraih tumpuan apabila menggayakan baju raya warna sedondon merah gelap.

Diminta mengulas dakwaan ‘menunggang’ populariti Fattah, ujar Amira semuanya berbalik kepada rezeki.

“Saya kurang faham sikit definisi ‘menunggang’ ini. Bagi saya, semua ini rezeki. Apa yang pasti, segala terjadi dan tersusun ini adalah ketetapan Allah.

“Saya juga rasa perkataan ‘menunggang’ kurang sesuai digunakan. Ini kerana kalau sudah tertulis rezeki, macam-macam boleh berlaku.

“Apa sahaja pilihan, sama ada mahu kontroversi atau tidak, pasti ada kebaikan serta keburukan termasuk membabitkan gimik untuk projek video muzik saya tempoh hari,” ujarnya.

Amira disebut-sebut sebagai wanita yang rapat dengan duda terhangat itu selepas penyanyi terbabit mengundang Fattah beraksi dalam video muzik single baharunya berjudul Bila Nak Kahwin, baru-baru ini.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok