Pelakon veteran Dalyce Curry maut rumah terbakar

DUNIA seni Hollywood dikejutkan dengan pemergian pelakon veteran Dalyce Curry, yang maut dalam kebakaran dahsyat dikenali sebagai Eaton Fire di kediamannya di Altadena, California, baru-baru ini.

Menurut sebuah laporan, pasukan penyelamat menemui mayat Curry, 95, pada Ahad lalu selepas kebakaran tersebut memusnahkan rumahnya.

Api marak yang bermula 6 Januari itu telah meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa dan menyebabkan lebih 200,000 penduduk terpaksa berpindah.

Dalyce yang mesra digelar ‘Momma D’, itu dikenali menerusi filem ikonik seperti The Blues Brothers, The Ten Commandments dan Lady Sings the Blues.

Mendiang juga dianggap sebagai pelopor dalam komuniti Old Black Hollywood pada era 1950-an, membawa impak besar dalam dunia seni.

Selain dikenang melalui legasi seninya, Dalyce turut disifatkan sebagai individu yang penuh tenaga dan aktif dalam dunia lakonan sehingga usia senja.

Kebakaran Eaton Fire bukan sahaja meragut nyawa tetapi turut memusnahkan lebih 30,000 ekar tanah, termasuk kediaman mewah di Malibu dan Beverly Hills.

Pastinya, bagi keluarga, rakan dan peminat, kehilangan Dalyce Curry satu tamparan hebat.

Mereka kehilangan bukan hanya bintang hebat tetapi seorang wanita luar biasa.

Jasanya kepada seni dan inspirasi kepada komuniti akan terus dikenang.

Tragedi itu menutup tirai hidup seorang bintang Hollywood yang pernah memancarkan sinarnya dalam dunia seni, namun kenangannya akan terus hidup dalam hati mereka yang menghargai bakat dan keperibadiannya. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok