MERAIH pujian, perkongsian pasangan selebriti Neelofa dan Haris Ismail berkaitan amalan dunia akhirat dalam sebuah majlis ilmu disifatkan ramai sebagai sarat pengisian.
Program dinamakan Hati Tenang Bila Jiwa Kenyang itu dikatakan membantu individu menemukan ketenangan hati selain memperbaiki kualiti kehidupan mereka.
Menerusi perkongsian Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 35, acara yang dianjurkan itu antara lain sebagai persiapan menghadapi hari muka.
Program ini diadakan untuk mengingati Allah. Moga Allah sentiasa membetulkan niat kita dan dapat menambah bekalan untuk akhirat kelak,” katanya dalam perkongsian Instagram.
Bahkan individu yang hadir berpeluang meluahkan isi hati mereka selain bertanyakan sebarang kemusykilan kepada Neelofa dan suaminya, Haris atau PU Riz.
Suasana syahdu jelas terlihat sepanjang acara apabila ramai tetamu bercucuran air mata mendengar perkongsian dilakukan PU Riz.
Selain suaminya, dalam majlis sama Neelofa juga tidak ketinggalan berkongsi doa serta tip bertemu jodoh yang pernah diamalkan.
Difahamkan, sebuah lagi program ilmu anjuran syarikat milik usahawan selebriti itu bakal diadakan pasangan tersebut pada Ramadan nanti.
Menerusi ruangan komen, ramai pengikut menzahirkan rasa teruja dengan usaha pasangan itu menggunakan populariti untuk menyalurkan ilmu bermanfaat.
Syabas untuk Neelofa dan PU Riz apabila menyalurkan ilmu ke arah kebaikan,” kata seorang pengikut.
“Harap program seumpama ini lebih banyak dilaksanakan di luar Kuala Lumpur,” tulis netizen. – HIBGLAM