Kalau tak jadi, saya yang malu nanti – Erra Fazira

TAHUN 2025 boleh dikatakan nombor mendamaikan buat pelakon Erra Fazira yang memberi bayangan hatinya kini sudah dimiliki apabila beliau menitipkan ucapan ulang tahun berbaur romantis buat seorang jejaka bertuah.

Ramai yang mula berteka-teki siapakah lelaki yang berjaya menambat hati Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu.

Tidak lama kemudian, rahsianya kian terbongkar apabila sumber mendakwa pemilik nama lengkap Fazira Wan Chek itu mempunyai hubungan istimewa dengan Ezwan Zain iaitu usahawan yang memiliki kafe kuih terkenal di Lembah Klang.

Jika diimbas kembali pada waktu namanya terpalit dakwaan menjadi isteri seorang menteri, pelakon berusia 50 tahun itu lebih selesa mengunci mulut.

Namun, kali ini senarionya agak berbeza apabila dia bukan sekadar mengucapkan selamat hari jadi buat si dia dalam media sosial, malah tidak kisah dilihat peminat ketika menyantuni seorang kenalan di sebuah hospital.

Erra dan Ezwan (kanan, depan) yang merupakan pengusaha kafe berjaya di Shah Alam ketika melawat rakan mereka terlantar sakit di hospital.

 

Biarpun ditemani pengurusnya, selain berulang kali menyatakan hubungan dengan duda usia 44 tahun itu sekadar teman, tanda akrab jelas terserlah.

“Saya kenal Ezwan sudah agak lama kerana pernah ke kafenya ketika penggambaran program bual bicara, Primadona. Namun, kami tak bersembang pun.

Kalau tak silap saya, kami bertemu semula tiga tahun lalu di konti radio Sinar FM. Dari situ, kami mula berbual sekadar untuk menyantuni.

“Hanya beberapa bulan lalu Ezwan mula rajin menghantar mesej dalam Instagram (IG), sejak itulah, kami semakin rancak berbual. Maka, boleh dikatakan kami mula rapat sejak beberapa bulan lalu dan saya kategorikan Ezwan sebagai kenalan rapat,” katanya.

Menanti 7 Februari

Selepas hampir dua minggu hubungan mesra mereka dihidu, timbul pula dakwaan Erra dan Ezwan sudah bertemu keluarga sebagai satu proses awal sebelum penyatuan dua jiwa.

Malah, mereka juga didakwa akan membuat pengumuman istimewa pada tanggal 7 Februari depan iaitu sekitar tarikh ulang tahun pelakon filem Sembilu itu.

Bagaimanapun, tuan punya badan menafikan spekulasi tersebut sekali gus enggan kisah hubungannya menjadi sorotan ramai.

“Mana pula dapat cerita? Belum lagi, sabarlah. Saya sendiri baru dengar cerita ini kononnya ada pengumuman istimewa pada tarikh berkenaan.

Hingga saat ini tiada apa perancangan istimewa. Andai ada berita baik, insya-Allah pasti akan dikongsikan, saya mohon doa baik-baik.

“Kalau boleh tak perlulah kisah ini dipanjangkan dan terlalu digembar-gemburkan. Tak manis rasanya dan kalau tak jadi, saya yang malu nanti,” jelasnya.

Meskipun sudah memberi penjelasan, ramai peminat yang enggan mudah percaya, bahkan ada juga tidak sabar menanti Februari depan untuk melihat apa yang akan berlaku.

Peminat juga sepertinya sudah merestui perhubungan Erra dan Ezwan kerana masing-masing berstatus solo. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok