Jual beli kereta punca Razman Razmi cedera dihempuk jurufoto

PASANGAN pereka fesyen Razman Razmi yang diserang seorang jurufoto dalam sebuah acara yang berlangsung malam tadi tidak menolak kemungkinan berpunca daripada masalah urusan jual beli sebuah kereta.

Menurut Razman, individu tersebut pernah membeli kereta Suzuki Swift daripada Razmi dengan harga RM20,000 pada 2019, namun selepas menggunakan hampir dua minggu individu tersebut mengadu terdapat kerosakan dan meninggalkan kereta tersebut di tepi jalan.

“Kami mengenali dia yang kami anggap seperti adik sudah bertahun-tahun. Sebab itu kami jual kereta tersebut dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran. Kami juga hantar kereta tersebut ke pusat servis dan cat baharu untuknya. Tetapi bila dia mula pakai kereta tersebut, saya lihat dia ‘henyak’ kereta tersebut naik bukit dan sebagainya. Kereta itu bukan Lamborghini. Kereta itu sudah berusia tujuh tahun.

Kemudian dia telefon dan beritahu kereta tersebut rosak. Dia hanya meninggal kereta tersebut dengan meletakkan kunci di atas tayar tanpa membawa ke bengkel terlebih dahulu. Kemudian saya yang uruskan proses ‘towing’ dan sebagainya. Apabila saya hidupkan enjin, rupanya kereta tersebut masih berfungsi.

“Selepas itu dia minta kami pulangkan semula RM20,000 secara tunai sedangkan dia juga membayar kereta tersebut secara ansuran kepada kami,” katanya ketika ditemui HibGlam.

Tambah Razman, selepas kejadian itu, negara melalui Perintah Kawalan Pergerakan namun dia telah membayar sebanyak RM3,000 terlebih dahulu kepada individu tersebut.

“Disebabkan pandemik, bisnes kami juga terkesan. Jadi ambil masa untuk bayar penuh. Tetapi saya ada bayar sedikit demi sedikit sehingga mencecah RM6,000.

Kali terakhir saya jumpa dia pada Disember lalu di sebuah acara dan memberinya RM300 kerana saya tak bayar duit yang banyak ketika itu. Saya kesihankan dia yang sedang dalam kesulitan dan berjanji untuk cuba langsaikan baki bermula Januari hingga Jun tahun ini.

“Tetapi tak sangka semalam bila bertemu dia tiba-tiba menyerang saya dan Razmi sehingga cedera di bahagian muka. Ingatkan dia datang nak bersalam. Saya sampai pitam dan rebah. Luka di muka saya sepatutnya dijahit, tetapi doktor hanya meletakkan gam,” jelasnya.

Mengakui pelaku merupakan seorang yang baik, Razman akui bagaikan ada sesuatu yang tidak kena dengan individu tersebut malam tadi seolah-olah berada di bawah pengaruh bahan terlarang.

“Saya lihat wajahnya sangat lain. Mula-mula saya lihat dia tersenyum. Tiba-tiba bila datang dekat matanya terbeliak.

“Kalau boleh tidak mahu ambil tindakan, tetapi saya dinasihatkan untuk melakukannya kerana acara tersebut melibatkan Permaisuri Selangor.

“Pertuduhan yang dikenakan juga agak berat iaitu cubaan membunuh. Saya juga dinasihatkan untuk mengambil tindakan saman malu, kecacatan kekal dan saman teladan sebagai pengajaran agar perkara sebegini tidak berlaku lagi pada masa hadapan,” ujarnya

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar mengesahkan pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian itu pada pukul 11 malam tadi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok