‘Belakang badan cedera, koyak terkena serpihan pyro’

PELAKON Shukri Yahaya tidak serik untuk terus membintangi filem aksi meskipun terpaksa menanggung sakit selepas mengalami kecederaan pada bahagian belakang badannya sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital akibat letupan ‘pyro’ ketika menjalani penggambaran naskhah terbaharunya, Chelot.

Menurut Shukri, 38, dia berasa lega kecederaan tersebut tidak terlalu serius atau terkena pada bahagian wajahnya.

Memang ada kecederaan, badan saya cedera dan terkoyak terkena sepihan ‘pyro’ (letupan melibatkan penggunaan kesan api) yang pecah serta kaca termasuk ke bahagian kulit. Walaupun pakai sut lengkap, kaca itu tetap tembus.

“Selepas itu terus ke hospital dan rawat luka tetapi tiada sebarang jahitan, balut badan dan kembali berlakon sebab bukan masalah besar kerana sebelum ini pernah juga alami kecederaan lebih teruk untuk naskhah lain iaitu pisau tertusuk pada pergelangan tangan.

“Saya tidak serik tetapi selepas ini mungkin akan tanya lebih terperinci mengenai babak-babak sebegini, bila nak meletup atau sebagainya cuma nasib baik kali ini hanya terkena pada badan sahaja, kalau muka, habis herot,” katanya kepada HibGlam pada majlis pengenalan pelakon dan tayangan klip istimewa Chelot, semalam.

Katanya, dia tidak menyangka insiden tersebut akan berlaku memandangkan sudah menjalani beberapa sesi latihan yang terperinci sebelum penggambaran.

Shukri memberitahu, semua babak aksi dalam Chelot dilakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri atau ‘stuntman’.

“Sebenarnya sewaktu latihan yang kami lakukan tiga kali, semuanya sudah okey dan sempurna tetapi entah kenapa lain pula berlaku ketika penggambaran sebenar.

Ketika penggambaran, saya sendiri tidak tahu mana silapnya, mungkin ‘timing’ saya berlari salah atau letupan itu terlalu awal.

“Walaupun sudah terkena letupan itu, saya tetap teruskan sebab babak itu hanya ‘one take’ sahaja dan melibatkan ramai orang,” katanya lagi.

Selain Shukri, naskhah arahan Adrian Teh itu turut dibintangi Beto Kusyairy, Shaheizy Sam, Alicia Amin, Nadhir Nasar dan Azhan Rani.

Chelot bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 27 Ogos depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok