SEJAK berita mengenai pelakon terkenal, Erra Fazira, 50, dikatakan sedang dilamun cinta menjadi tajuk akhbar tempatan, ramai netizen mula berteka-teki siapakah lelaki bertuah yang berjaya menambat hatinya.
Menurut sumber, lelaki yang dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan primadona filem negara itu dikenali sebagai Ezwan Zain, 44, yang merupakan seorang usahawan yang memiliki kafe kuih yang terkenal di sekitar Lembah Klang.
Lebih menguatkan spekulasi, Ezwan turut memuat naik foto Erra dalam InstaStory sewaktu mereka berdua keluar makan malam bersama sempena sambutan tahun baharu.
“Terima kasih belanja makan malam awak. Selamat tahun baru dan salam Rejab,” tulisnya.
Menerusi tinjauan Kosmo! Online dalam Instagram penyampai radio Sinar FM, Falyq Hikyle, kelihatan Erra dan Ezwan berada bersama-sama di sebuah pusat karaoke semalam bagi meraikan sambutan hari lahir Ezwan.
Sementara itu menerusi temu bual bersama sebuah akhbar tempatan, Erra enggan mengulas lebih lanjut sejauh mana hubungannya dengan lelaki yang dimaksudkan dalam ucapan yang dimuat naik dalam ‘InstaStory’nya semalam.
“Berilah peluang. Kami baru nak kenal. Kalau boleh saya tak mahu komen banyak-banyak. Kalau tak jadi saya juga yang malu nanti,” katanya.
Terdahulu, semalam ucapan Erra dalam InstaStory buat seseorang menjadi bualan ramai kerana ucapan tersebut dikatakan berbaur romantis disulami dengan lagu Semoga Abadi dendangan Misha Omar.
Gambar susuk lelaki dan perempuan yang digelapkan juga menguatkan spekulasi bahawa hantaran itu ditujukan kepada seseorang yang istimewa di hatinya. – HIBGLAM