PELAKON dan pengarah Ellie Suriaty menyifatkan kontroversi pementasan This Is Malaysia yang didakwa mempersendakan Rukun Negara sebagai perkara serius yang tidak harus dipandang ringan.
Ellie, 54, berkata, kandungan pementasan berkenaan bukan sekadar karya yang dibuat secara rawak kerana secara spesifik menyentuh prinsip Rukun Negara selain mempersendakan perlembagaan.
“Saya rasa malang sekali sebab perkara itu berlaku pada 2018 dan baru sekarang kita perasan. Maknanya pementasan itu dipertontonkan untuk sekelompok orang yang satu pemikiran. Saya rasa ini kumpulan liberal sekular.
Rukun Negara ini diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 untuk meredakan peristiwa 13 Mei 1969. Ini adalah benteng keselamatan serta perpaduan negara.
“Jadi apabila ada kumpulan tidak bertanggungjawab menyentuh tentang Rukun Negara, apa modus operandi mereka? Tindakan ini bukan rawak, memang menyentuh intipati Rukun Negara,” katanya ketika ditemui selepas pratonton telefilem siaran TV1, Miselia, di Angkasapuri RTM, semalam.
Katanya, berdasarkan pengalaman dalam dunia teater Inggeris sebelum terlibat dengan pementasan Melayu dan arus perdana, dia menyedari wujud kelompok tertentu yang mempunyai kecenderungan pemikiran sedemikian dalam ruang seni.
“Di sebalik rumah-rumah teater pentas ini, ada NGO liberal sekular yang terlibat dengan seni. Pihak berwajib dan Kementerian Komunikasi harus menyiasat siapakah pembiaya projek teater ini?
“Kes ini memang patut disiasat dengan lebih mendalam malah oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ini kesalahan serius. Apa yang awak tidak seronok sangat sampai permainkan Rukun Negara?
Bila awak sentuh Rukun Negara, Kalau budak tengok, sangat bahaya. Apa untungnya menyemai kebencian terhadap Rukun Negara yang dilaksanakan untuk menyatupadukan semula kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969?” ujarnya.
Elly turut mempersoalkan mesej yang kononnya cuba disampaikan menerusi sindiran terhadap prinsip seperti Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-undang.
“Segala yang ada dalam Rukun Negara itu diejek dan dimomokkan. Di mana kesopanan dan kesusilaan anda? Ini satu naskhah yang kalau dalam bahasa politiknya, ‘jarum-jarum halus’,” katanya.
Dalam pada itu, Ellie yang pernah terlibat dalam politik berkata, pengalaman tersebut membantunya memahami isu serta kelompok pemikiran yang wujud dalam segelintir anggota masyarakat.
“Itulah sebabnya saya masuk politik dulu. Saya boleh kenal pasti benda ini datang dari mana.
“Saranan saya mungkin agak keras. Setelah berlakunya insiden teater ini yang merosakkan kemakmuran serya nama baik Malaysia, setiap penerbitan, tidak kira teater Melayu, Inggeris, Cina atau Tamil patut melalui KDN.
Pihak kerajaan harus tengok skrip. Macam yang dibuat untuk filem. Apa-apa filem bersangkut paut dengan polis, askar atau senjata api kena melalui Bukit Aman,” katanya.
Ellie berkata, perkara itu perlu diberi perhatian terutama apabila kandungan berkenaan boleh tersebar luas menerusi media sosial dan ditonton golongan muda.
Kontroversi tercetus selepas rakaman sekitar 10 minit pementasan This Is Malaysia kembali tular di media sosial, memaparkan lima pelakon membacakan prinsip Rukun Negara yang diselang-seli dialog dan kenyataan menyentuh sensitiviti kaum.
Pementasan dipercayai diadakan di sebuah lokasi acara di Pulau Pinang itu dipersembahkan pada 2018 sebelum rakamannya dimuat naik semula baru-baru ini.
Susulan penularan video itu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengambil alih siasatan, manakala tiga daripada lima pelakon yang dikenal pasti sudah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – HIBGLAM

