‘Diet cecair bukan boleh buat sesuka hati’

Hilang 10 kilo gram (kg) berat badan hanya dengan mengamalkan diet cecair, pelakon Sweet Qismina memohon orang ramai tidak sewenang-wenangnya mengambil jalan pintas dengan melakukan rejim pemakanan sama untuk kesan seperti dirinya.

Sweet atau nama lengkapnya Farhanna Qismina Supandi, 27, memaklumkan diet cecair dilakukan demi menjayakan watak dalam filem Babah atas pemantauan pakar, pihak produksi dan suami, Adam Lee.

“Saya mengamalkan liquid diet dan mengalami kesan sampingan. Salah satunya mudah beremosi kerana mengidam nak makan.

Saya lakukan untuk kerja tetapi suami dan produksi menjaga saya daripada sebarang keadaan tidak diingini selain pemantauan pakar pemakanan yang mengawasi kesihatan saya.

“Ini bukan hal yang boleh buat sesuka hati. Tolong jangan buat sekiranya tidak merujuk doktor terlebih dahulu,” katanya dalam sebuah video TikTok.

Pelakon drama Malam Zulaikha itu turut mendapat nasihat pakar nutrisi bagi memeriksa kondisi kesihatan sebelum melakukan diet tersebut.

“Doktor akan periksa berat badan dan tahap kesihatan bagi memastikan badan saya sesuai melakukan liquid diet.

“Bila jumpa dengan pakar pemakanan, mereka akan beritahu apa sesuai atau tidak dan bagaimana cara saya untuk diet.

Susu diberi bukanlah anda boleh dapat dan minum sesuka hati kerana digunakan untuk pesakit yang makan atau minum melalui tuib, sangat berisiko tetapi saya boleh ambil atas nasihat doktor,” ujarnya.

Sebelum ini, Sweet nafi dakwaan menjalani prosedur bariatrik atau potong usus bagi mendapatkan tubuh cengkung.

Sebaliknya, dia menurunkan berat badan dengan hanya mengamalkan diet cecair seperti disarankan pakar nutrisi.

Dia juga mengaku hanya menjamah epal atau makan sebiji telur sekiranya berasa lapar sepanjang mengamalkan diet cecair tersebut.

Selepas perkongsian tersebut, orang ramai mula melakukan diet cecair semata-mata mahu menurunkan berat badan dalam tempoh singkat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok