6 tikaman, Saif Ali Khan cedera diserang perompak

PELAKON terkenal Bollywood, Saif Ali Khan dikejarkan ke hospital selepas ditikam perompak dalam kejadian yang berlaku di kediamannya awal pagi tadi.

Menurut laporan yang dikeluarkan Hindustan Times, kediaman aktor yang juga merupakan suami kepada aktres Kareena Kapoor itu telah dipecah masuk perompak kira-kira pukul 2.30 pagi waktu tempatan ketika dia sedang tidur bersama anak-anaknya, Taimur dan Jeh.

Sewaktu kejadian, Kareena tidak berada di rumah kerana keluar bersama kakaknya Karisma Kapoor dan pelakon, Sonam Kapoor.

Saif yang terdengar bunyi bising bangun dan berlaku pergelutan dengan perompak yang menceroboh kediamannya.

Saif dilaporkan telah cedera akibat ditikam beberapa kali dengan pisau dan dikejarkan ke Hospital Lilavati, Mumbai kira-kira jam 3.30 pagi.

Menurut Pegawai Eksekutif hospital berkenaan Niraj Uttamani, Saif mempunyai enam kecederaan di tubuhnya dan dua daripada sangat dalam dan satu hampir dengan tulang belakang.

“Kami akan menjalankan pembedahan terhadapnya dan akan dilakukan oleh beberapa pakar bedah termasuk doktor  kosmetik. Kami akan memberi maklum balas selepas pembedahan selesai dilakukan,” katanya.

Kejadian ngeri itu telah menggemparkan sindustri perfileman Bollywood dengan rata-rata netizen mempersoalkan tahap keselamatan rumah pelakon terbabit yang merupakan seorang bangsawan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok