ENAM peserta masih berpeluang merebut gelaran juara Calpis Soda One In A Milllion (CSOIAM) apabila tiada penyingkiran pada konsert minggu kelima di sini, hari ini.
Berita gembira itu sekali gus menyelamatkan empat peserta di kedudukan terendah iaitu Kai Deva, Mariam, Eylia dan Zazzleen.
Dua lagi peserta iaitu Jimi dan Marygrace yang menduduki dua tangga teratas turut mara ke minggu keenam CSOIAM.
Markah keseluruhan para peserta dinilai berdasarkan 60 peratus daripada tiga juri tetap iaitu Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan manakala baki 40 lagi bergantung kepada undian penonton.
Minggu depan, enam finalis tersebut bakal berentap dengan tema Saling Menyengat, Fizz Sangat yang akan berduet dengan barisan penyanyi popular.
Enam penyanyi tersebut ialah Marsha Milan, Aisha Retno, Amir Masdi, Haqiem Rusli, Khai Bahar dan Shiha Zikir.
Juara CSOIAM bakal membawa pulang hadiah bernilai RM1 juta termasuk wang tunai RM500,000, sebuah kereta PEUGEOT 408 (RM200,000) dan kontrak rakaman eksklusif.
Program yang berlangsung setiap Ahad pukul 9 malam itu dihoskan Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy. – HIBGLAM