Serangan jantung, pemain dram A.C.A.B rebah ketika konsert

KONSERT kumpulan rock alternatif A.C.A.B di Zepp Kuala Lumpur malam tadi terpaksa dihentikan seketika selepas pemain dramnya rebah dipercayai akibat serangan jantung.

Anggota band yang dikenali sebagai Zul itu dikatakan tidak sedarkan diri beberapa minit terawal A.C.A.B 30th Final Concert.

Penyanyinya, Megat Hafiz Mohammad berkata, rakannya itu sudah dibawa ke hospital menaiki ambulans yang berada di lokasi tersebut.

Dalam tempoh setengah jam kemudian persembahan disambung semula apabila tempat Zul digantikan dengan seorang lagi anggota, Irfan.

Terdahulu, video berdurasi 50 saat yang menunjukkan pemuzik terbabit rebah ketika persembahan berlangsung tular dalam media sosial.

Kru produksi juga dilihat segera memberikan bantuan sebelum seorang petugas naik ke pentas bagi memaklumkan konsert perlu dihentikan seketika.

Terdahulu, konsert A.C.A.B malam tadi merupakan persembahan mega terakhir band yang ditubuhkan pada penghujung 1994 sebelum dibubarkan.

A.C.A.B antara kumpulan skinhead dan Oi! yang terawal di negara ini dengan gaya tersendiri bahkan lagu mereka, Skinhead 4life dimainkan beberapa kumpulan dari Eropah dan Amerika Latin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok