Trauma dibuli bantu Sky Iskandar jiwai watak gelap

BERHASIL menghidupkan watak pembuli dalam filem Kahar: Kapla High Council, pelakon Sky Iskandar mengakui pengalaman dibuli banyak membantunya menjiwa karakter itu.

Sky atau nama lengkapnya Hadi Iskandar, 30, berkata, peristiwa hitam itu meninggalkan kesan mendalam buat dirinya sehingga kini.

“Saya pernah kena buli, pengalaman itu membantu saya menjiwai karakter Megat dengan lebih berkesan.

Terima kasih kepada individu tersebut kerana memberikan trauma hebat yang sukar saya kikis dari ingatan.

“Buli meninggalkan kesan mendalam, cuma macam mana kita ambil dan terus bergerak ke hadapan yang lebih penting,” katanya kepada HibGlam ketika malam gala Kahar: Kapla High Council baru-baru ini.

Sky bagaimanapun enggan mengulas lanjut kejadian itu yang dianggap tidak penting

“Buli perkara normal yang semua orang lalui terutama ketika zaman persekolahan.

Macam mana bentuk buli sama ada fizikal atau mental itu tidak penting, yang pasti kita ‘move on’ sahaja,” ujarnya.

Ditanya mengenai cara memulihkan diri daripada trauma itu, anak jati Selangor terbabit menzahirkan rasa syukur dikelilingi ramai insan baik yang tidak putus menyuntik aura positif sehingga dia mampu melangkah.

Saya dikelilingi orang baik yang sentiasa memberikan sokongan, semangat dan percaya untuk saya bergerak ke hadapan dengan lebih baik.

“Mungkin cara saya tak sama dengan orang lain yang mengalami situasi berbeza.

Saya cakap secara umum berdasarkan pengalaman sendiri,” jelasnya.

Selain Sky, naskhah arahan Razaisyam Rashid itu turut dibintangi Amir Ahnaf, Aedy Ashraf, Fadhli Masoot dan Khenobu.

Kahar: Kapla High Council yang merupakan prekuel kepada siri popular Projek: High Council akan ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia dan Brunei bermula 28 November ini manakala di Singapura pula pada  5 Disember depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok