TAK salah nak rasa nikmat dunia, asalkan kita seimbangkan dengan akhirat.”
Demikian perkongsian pelakon kegilaan ramai, Fattah Amin membicarakan soal rezeki tidak putus yang dikurniakan Allah SWT kepadanya dan keluarga.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 34, berkata, paling penting setiap perkara perlu diseimbangkan dengan mencari pahala sebagai saham akhirat.
“Kejarlah akhirat insya-Allah dunia pun akan ikut kita.
Betul, rezeki tak pernah salah alamat. Kita tolong orang dapat hadiah, tapi hadiah kali ini memang lain dari yang lain.
“Bila kita mudahkan urusan orang lain, insya-Allah urusan kita dipermudahkan juga,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Titipan peringatan itu dikongsikan menerusi video lakonan bersama seorang ahli perniagaan wanita yang mengusahakan sebuah butik beg tangan berjenama.
Dalam video promosi itu Fattah membawakan watak lelaki yang menolong usahawan terbabit mendapatkan semula beg yang diragut.
Berikutan bantuan diberikan, ahli perniagaan itu menghadiahkannya tas tangan, bahkan aktor berkenaan turut membeli satu beg untuk dihadiahkan kepada insan tersayang.
Biarpun sekadar lakonan, babak ketika pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu menzahirkan penghargaan terhadap ibunya, Azizah Abdul Ghani mengundang sebak ramai.
Ibu, setiap langkah along diiringi doa dan kasih ibu. Tiada apa yang mampu membalas semua itu. Semoga hadiah ini buat ibu rasa dihargai.
“Terima kasih sebab jadi kekuatan along. Sayang ibu, selalu dan selamanya,” ujarnya yang merakamkan momen tersebut bersama adiknya, Raihan.
Sejak bercerai dengan pelakon Nur Fazura pada 7 Oktober lalu, Fattah menjadi rebutan pemilik syarikat dan jenama popular yang menyambarnya sebagai jurucakap mahupun duta produk.
Dilabel netizen sebagai duda terhangat, terbaharu aktor tinggi lampai itu didakwa menerima sebuah kereta Lamborghini daripada seorang pengusaha kedai emas, begitupun pengurusnya mengesahkan itu sekadar props promosi. – HIBGLAM