MESKIPUN dihimpit jadual kerja yang padat, pelakon Fattah Amin tetap meluangkan masa menunaikan ibadah umrah bersama keluarganya di Tanah Suci, Mekah.
Menerusi hantaran dalam Instagram, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, dilihat berangkat ke sana semalam bersama ibu bapa serta tiga adik perempuannya selain memohon doa daripada peminat agar perjalanan mereka dipermudahkan.
Assalamualaikum semua, doakan perjalanan kami sekeluarga menjalani ibadah umrah dipermudahkan, dilindungi serta mendapat umrah yang mabrur. Insya-Allah,” tulisnya.
Mereka akan berada di Mekah selama sembilan hari sehingga 3 Disember depan bersama agensi pelancongan TMK Travel & Tours.
Sebelum ini, pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu mencetuskan fenomena apabila kemunculan pertamanya dalam TikTok pada Oktober lalu mendapat lebih 100,000 tontonan serta 44 juta tanda suka dalam masa tiga jam.
Selain itu, dia kini menjawat jawatan Ketua Eksekutif Pemasaran untuk jenama daging perap terkenal, Pak Mat Western berkuat kuasa 20 November lalu.
Tugasnya merangkumi merancang dan memajukan strategi pemasaran serta jualan syarikat itu, terutama melalui media sosial. – HIBGLAM