ASA2024 sarat kejutan, Bahalol menang besar

KEMUNCAK Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA2024) yang berlangsung pada Ahad lalu meninggalkan memori manis buat para penerima trofi.

Terus menjulang kualiti bakat dan karya anak tempatan, senarai pemenang ASA2024 yang sekali gus menjadi edisi ke-36 boleh dikatakan penuh kejutan, malah ada yang berjaya memecah dominasi dan menggenggam trofi buat kali pertama di pentas anugerah berkenaan.

Dianjurkan setiap dua tahun sekali, ASA204 mengangkat telefilem Bahalol arahan Azrai Fahmi sebagai Drama Terbaik.

Bukan hanya satu kemenangan, naskhah hasil idea asal Que Haidar terbitan TV Okey itu turut membolot kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Drama TV Terbaik menerusi lakonan hebat Sobri Anuar serta Liza Othman.

Tidak pernah bermimpi untuk memenangi trofi berprestij tersebut, Sobri yang selama ini jauh dari pentas popularti bersyukur kerja keras dan lakonannya sebagai lelaki autisme tidak dipandang sepi.

SOBRI dinobatkan sebagai Pelakon Drama Lelaki Tebaik menerusi drama Bahalol.– IQBAL ROSLI

Kongsinya, watak Bilal itu sepatutnya dilakonkan Que Haidar tetapi selepas dipujuk, hatinya terbuka untuk menjayakan karakter sebagai lelaki lembam berkenaan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Que sebab watak ini sebenarnya untuk dia. Alhamdulillah ini rezeki saya selepas skrip dirombak sebanyak sembilan kali.

Cabaran watak ini ialah apabila saya perlu menjadi lelaki autisme atau lembam berusia 40 tahun.

“Selalunya watak sebegini sinonim dengan kanak-kanak tetapi kali ini lelaki dewasa. Jalan cerita yang menarik untuk dikupas,” katanya kepada HibGlam.

Ujar pelakon drama Keluarga Iskandar itu, jalan cerita yang diketengahkan dalam Bahalol mampu membuatkan penonton lebih memahami isu autisme yang pernah dipandang sepi suatu ketika dahulu.

TAHUN ini, naskhah arahan Azrai Fahmi yang mengangkat isu autisme, Bahalol diangkat penerima trofi Drama Terbaik.

“Cerita ini mengangkat tentang kesedaran dan mahu membuka mata orang ramai bagaimana cara untuk mengendalikan emosi serta perilaku golongan autisme.

Dahulu, ramai pukul rata tentang autisme seperti dilabel sebagai orang gila, sewel dan sebagainya tetapi hari demi hari, ramai mula buka mata tentang autisme.

“Jadi, mesej drama ini sangat kuat untuk buka mata tentang autisme,” tuturnya.

Berkongsi tentang persaingan, Sobri mengakui Nasir Bilal Khan dan Datuk Rosyam Nor adalah pencabar utamanya.

“Persaingan dalam kategori ini sangat mencabar dan hebat belaka, lebih-lebih lagi melihat Nasir dan Rosyam.

“Trofi ini saya tujukan kepada arwah ayah sebab Bahalol merupakan drama terakhir yang dia tonton sebelum meninggal dunia,” katanya.

AZHAN Rani dan Siti Saleha antara selebriti jemputan sebagai penyampai anugerah.

Kategori paling dinanti-nanti ramai, Tokoh Seri Angkasa tahun ini mengangkat pengarah tersohor, Othman Hafsham atas segala jasa dan kerja keras selama lima dekad.

Merupakan perintis rancangan sitkom di Malaysia, Othman, 85, mahu setiap naskhah arahannya menjadi inspirasi buat pelakon dan pengarah generasi muda hari ini.

“Saya memang syukur dengan anugerah ini, satu penghargaan yang besar buat kerjaya seni.

Kalau boleh, saya mahu melihat generasi muda khususnya yang aktif dalam dunia pengarahan lebih agresif menghasilkan karya-karya hebat,” kongsinya.

OTHMAN Hafsham penerima Tokoh Seri Angkasa yang membawa pulang hadiah sebuah kereta S70 tajaan DRB-HICOM, barangan sumbangan Habib Jewel,wang tunai dan trofi penghargaan.

Pencipta Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu juga menyimpulkan perjalanan seninya selama 50 tahun sebagai satu pengalaman menakjubkan.

Kalau anda minta saya ringkaskan, jawapannya sangat hebat dan luar biasa.

“Sepanjang bekerja, para pelakon yang terlibat semuanya memberi kerjasama dan komitmen hebat,” jelasnya yang turut membawa pulang sebuah kereta Proton S70, wang tunai RM10,000, set barangan kemas dan trofi.

FIZA Sabjahan dipilih sebagai Pengacara TV Terbaik ASA2024.

Boleh dikatakan sebagai kategori popular, Fiza Sabjahan mengakui terkejut apabila nama diumumkan sebagai pemenang Pengacara TV Terbaik ASA2024.

Menewaskan pemenang terdahulu iaitu Fedtri Yahya dalam kategori sama juga sesuatu yang menjangkau ekspektasinya.

“Persaingan sengit adalah Fedtri sebab dia juga mentor saya sebelum ini. Kini kami bekerja bawah bumbung yang sama iaitu Media Prima.

“Harap dengan trofi ini menjadi platform kepada saya untuk meneroka lebih banyak ruang dan peluang dalam bidang pengacaraan,” kongsinya.

Sebak berkongsi rasa gembiranya, Fiza berkata dia tidak mempunyai sebarang resipi kejayaan tetapi paling dititikberatkan ialah bekerja dengan ikhlas dan sepenuh jiwa.

LAKONAN Que Haidar dalam Lebai Sampan diiktiraf dengan trofi Pelakon Pembantu TV Lelaki Terbaik.

Dalam acara sama, beberapa nama besar lain turut meraih kemenangan termasuk Que Haidar dan Aida Aris yang membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki (Lebai Sampan) serta Pelakon Pembantu Wanita TV Terbaik (Dania).

Sementara, drama Lebai Sampan arahan Zainorhisyam Samudin turut membawa pulang trofi Pengarah Drama TV Terbaik dan Skrip Drama Terbaik.

Fedtri Yahya yang tercalon dalam tujuh kategori pula berjaya membawa pulang trofi Pengulas TV terbaik menerusi segmen Aduan Jiwa: Hati Tertinggal di Syria.

MALAM kemuncak ASA2024 diserikan persembahan nyanyian bintang-bintang popular termasuk Ziana Zain yang mendendangkan tiga lagu.

Trofi kategri Dokumentari TV Terbaik pula dimiliki Taste of Memory (Season 2) oleh Chong Boon Yee sekali gus bawa pulang trofi, wang tunai RM5,000 dan Dana Kandungan Kreatif (DKK) RM150,000.

Paling mengejutkan apabila Aishah Azman memenangi kategori Pelakon Komedi TV Terbaik mengalahkan saingan hebat lain seperti Ropie, Ain Edruce, Fikry Ibrahim dan Joey Daud.

Malam kemuncak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya turut dihangatkan dengan persembahan hebat Ziana Zain, Aina Abdul, Zamani Slam, Ernie Zakri, Aisha Retno, Amir Masdi dan Liza Aziz. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok