KERJA keras membuahkan hasil, penyanyi Shila Amzah teruja apabila bergelar juara mingguan sekali gus melayakkan diri bersaing pada pentas akhir program Singing With Legends di China.
Ujar Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah, 34, dia sangat bersyukur malah mengakui bangga dengan kemampuannya yang dapat mendendangkan lagu di luar zon selesa.
“Alhamdulillah, kita juara minggu ini yang melayakkan kita terus ke peringkat akhir.
“Saya suka dua-dua persembahan sebab gembira sangat dapat nyanyi genre yang berbeza kali ini,” tulisnya dalam Instagram.
Dalam hantaran sama, pelantun lagu Tiada Dirimu itu turut berkongsi video persembahannya menyanyikan lagu Bring me To Life nyanyian Evanescence bersama penyanyi muda Wang He-ye.
Shila juga itu turut mencabar diri menyampaikn lagu bahasa Mandarin berjudul Ning Meng Cao De Wei Dao bersama penyanyi legenda asal China iaitu Julia Peng.
Rata-rata netizen memuji persembahan ibu kepada dua anak itu selain memberikan kata-kata semangat serta sokongan penuh kepadanya.
“Insya-Allah Shila akan bergelar juara, teruskan berjuang, kami sebagai peminat akan terus menyokong awak,” komen seorang netizen.
“Hebat! Semoga terus bersinar di pentas antarabangsa!,” demikian komen salah seorang pengguna media sosial
Sebelum ini, pada awal September lalu, Shila mengumumkan bakal bertanding dalam sebuah program televisyen di China iaitu Singing With Legends musim keenam.
Singing With Legends merupakan sebuah program pertandingan nyanyian yang mengetengahkan gandingan penyanyi legenda bersama bakat muda di atas pentas sama. – HIBGLAM