MENITI bahagia bergelar ibu, penyanyi Datin Alyah mendedahkan mendapat ilham nama Nur Izzara kepada anak angkatnya ketika singgah di hentian Rehat & Rawat (R&R) Ayer Keroh, Melaka.
Alyah atau Nor Hasliah Abu Hassan, 43, berkata panggilan itu secara spontan tercetus di fikirannya sebaik membaca papan tanda yang tertera pada sebuah restoran.
“Selama ini saya memang tiada pengalaman mencari atau bagi nama bayi walaupun mempunyai ramai anak saudara.
“Tetapi ketika singgah di sebuah hentian R&R, saya terpandang nama sebuah restoran, Izzara. Manis dan cantik panggilan itu.
“Cuma takkan nak letak nama Izara Aishah, risau orang pula keliru dengan artis. Ibu sarankan saya letak Nur, jadilah Nur Izzara,” katanya kepada HibGlam.
Menurut isteri kepada maestro muzik, Datuk Ramli MS atau Tok Ram, buat masa ini dia masih belajar menguruskan permata hati yang berusia hampir tiga bulan dengan bantuan keluarga terdekat.
Begitupun, kata Alyah naluri keibuannya cukup kental sehingga berasa berat berjauhan dengan si kecil terutama sepanjang mengerjakan haji, baru-baru ini.
“Saya masih lagi dalam fasa belajar melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu dengan sebaik mungkin sebab pengalaman menjaga anak saudara berlainan dengan anak sendiri.
“Memang agak berat meninggalkan Nur Izzara tetapi anak ini adalah rezeki kami apatah lagi saya terima panggilan haji saya selepas dua hari dia dilahirkan.
“Teknologi masa kini membolehkan saya kerap berhubung dengan keluarga untuk mengetahui keadaannya di tanah air. Selebihnya saya serahkan kepada Allah,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media TikTok Live X Astro Gimme The Mic Malaysia, baru-baru ini.
Akui penyanyi Kisah Hati itu, dia dan suami tidak pernah merancang atau mencari anak angkat, namun kehadiran si kecil diterima dengan penuh kesyukuran.
“Sebenarnya kami sudah dianugerahkan Izzara sebaik dia lahir, cuma waktu itu kami belum sedia untuk berkongsi berita gembira ini.
“Sebelum ini pun ada ramai orang terdekat cadangkan kami ambil anak angkat tetapi saya belum sedia disebabkan nak jaga anak bukan macam bela kucing.
“Sudah namanya rezeki, kehadiran Izzara buka hati saya. Cuma identiti keluarganya atau siapa ibu bapanya tak perlu saya dedahkan,” katanya.
Terdahulu bulan lalu perkongsian Alyah Dan Tok Ram dalam laman sosial yang bergambar dengan ahli keluarga barunya pada majlis akikah mencetuskan keterujaan ramai.
Perkahwinan pasangan itu yang sudah memasuki tahun ke-10 belum dikurniakan cahaya mata. – HIBGLAM