5 bintang K-pop benci nama pentas

DALAM dunia hiburan K-Pop, penjenamaan semula dan penentuan nama pentas merupakan antara perkara paling sukar bagi idola sebelum membuat kemunculan sulung.

Nama yang unik dan mudah diingat selalunya menjadi pilihan utama agensi pengurusan bagi memastikan artis mereka mekar di hati peminat.

Bagaimanapun, tidak semua bintang K-Pop bertuah dapat menggunakan nama pilihan sendiri atau nama sebenar mereka.

Malah, ada dalam kalangan mereka yang diberikan nama pentas yang pelik, kelakar atau langsung tidak masuk akal sehingga mencetuskan rasa tidak selesa idola itu sendiri.

Minggu ini, HibGlam menyenaraikan lima penyanyi yang pernah secara terbuka mengakui tidak menyukai nama pentas mereka.

RM (BTS)

PADA 2017, Rap Monster atau nama sebenarnya Kim Nam-joon mengambil keputusan untuk menukar nama pentasnya secara rasmi kepada RM.

Sebelum pertukaran tersebut, anggota kumpulan BTS itu menggunakan nama Rap Monster selama lima tahun.

Nama itu pada asalnya diinspirasikan daripada lirik lagu yang ditulisnya sewaktu masih berstatus pelatih (trainee).

Bagaimanapun, seiring dengan perkembangan kerjayanya, dia menyedari bahawa hala tuju muzik serta imej yang ingin ditampilkan tidak lagi sesuai dengan nama Rap Monster.

Yubin (Oh My Girl)

PADA Januari 2022, agensi WM Entertainment mengumumkan seorang ahli kumpulan Oh My Girl iaitu Binnie akan menggunakan nama asalnya, Yubin bagi aktiviti promosi.

Menerusi kemunculan dalam rancangan Cultwo Show pada Mac tahun sama, pemilik nama lengkap Kim Yu-bin itu mendedahkan bahawa dia mengambil masa selama tiga tahun untuk meyakinkan pihak label bagi menukar nama pentasnya.

Yubin mengakui jauh lebih gembira dan berasa lebih bertenaga serta dihargai setiap kali orang ramai memanggilanya dengan nama sebenarnya.

Umji (VIVIZ)

KETIKA muncul dalam rancangan Cultwo Show di SBS PowerFM pada tahun 2019, Umji mendedahkan tidak menggemari nama pentasnya.

Pemilik nama sebenar Kim Ye-won itu mengakui kurang bersetuju dengan nama yang diberikan pihak agensinya dan berasakan lebih baik mempromosikan diri menggunakan nama lain.

Disebabkan tidak menyukai nama tersebut, wanita berusia 28 tahun itu pernah cuba mencadangkan nama pentas alternatif seperti Yeondoo dan Ahrang.

Perkataan ‘Umji’ bermaksud ‘ibu jari’ dalam bahasa Korea, yang berkemungkinan menjadi punca utama dia tidak menyukai nama berkenaan.

Bagaimanapun, dia mula menerima dan menyukai nama itu selepas aktif bergerak bersama kumpulan GFRIEND.

Huening Bahiyyih (Kep1er)

ANGGOTA kumpulan Kep1er, Huening Bahiyyih secara terbuka mengakui berasa kurang selesa apabila dipanggil dengan nama penuh iaitu Huening Bahiyyih atau Bahiyyih sahaja.

Sewaktu muncul dalam program CHEKITAKA, wanita berusia 22 tahun itu mendedahkan berasa agak tertekan setiap kali dipanggil dengan nama penuhnya itu.

Dia lebih selesa menggunakan nama Hiyyih.

Untuk rekod, kesemua ahli Kep1er lain menggunakan nama pertama dan hanya Huening Bahiyyih mengekalkan nama keluarga pada nama pentasnya.

Lunedi

PENYANYI yang dilahirkan dengan nama Kim Ji-min itu diberikan nama pentas Monday oleh pihak pengurusannya.

Nama tersebut berkemungkinan dipilih bersempena dengan konsep nama kumpulannya, Weekly.

Bagaimanapun, wanita berusia 24 tahun itu kelihatan kurang pasti apabila ditanya mengenai maksud sebenar nama pentasnya itu.

Menerusi beberapa kesempatan, Monday secara terbuka menyatakan rasa kurang senang terhadap nama tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok