DIANGKAT sebagai juara ‘melaram’, namun wanita bermata galak, Rozita Che Wan tidak pernah menganggap dirinya sebagai ikon fesyen biarpun kemunculan dalam mana-mana majlis tetap memancing tumpuan.
Biar dewan dipenuhi ramai selebriti muda dan tersohor, figura yang mesra disapa Che Ta yang sudah mencecah usia 51 tahun itu tetap menyerlah dalam kelas tersendiri.
Dengan senyuman menguntum di bibir bersulam kemesraan mudah didekati menggandakan lagi auranya sebagai jelitawan tak dimakan usia.
“Bukan, saya bukan ikon fesyen. Artis yang tepat diangkat sebagai ikon fesyen adalah Scha Alyahya. Saya cuma suka melaram dan nampak elok sepanjang masa,” responsnya menjawab usikan Pose tempoh hari.
Menurut bekas pramugari itu, sejak remaja lagi dia suka ‘bersiap’ sebelum melangkah ke luar rumah sehingga amalan tersebut menjadi kewajipan sehingga kini.
“Saya tak mahu orang tengok saya selekeh, hendak pergi kedai pun saya bersiap macam nak ke majlis anugerah, mungkin gaya saya yang dikatakan macam ikon fesyen,” ujarnya sambil tertawa.
Menganggap jolokan sebegitu sejadar usikan, pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar itu tidak menolak pendedahan jumlah baju rayanya saban tahun yang menjadi bualan ramai antara pencetus situasi berkenaan.
“Kalau fesyen baju raya mungkin betul, sebab barangkali sebelum ini jumlah baju raya saya yang berpuluh-puluh pasang setiap kali Syawal jadi topik hangat. Tahun ini saya ada 30 pasang baju raya untuk digayakan sepanjang 30 hari Syawal.
“Kebanyakannya bukan dibeli, ada yang diberikan rakan-rakan pereka. Tahun ini Fiziwoo hadiahkan tiga empat pasang, Rizman Ruzaini pun hantar lima enam pasang, belum lagi kawan baik saya Man Kajang dan pereka fesyen lain.
“Beberapa pasang lagi saya tempah untuk seisi keluarga sebab bukan saja dipakai selama lebih seminggu beraya di kampung, bahkan untuk ziarah saudara- mara sebelah mentua atau rumah terbuka kawan-kawam di Kuala Lumpur,” ujarnya walaupun awalnya keberatan membuka topik baju raya.
Berkongsi pula soal kemeriahan Syawal, setiap tahun Che Ta sekeluarga mendahulukan acara beraya dengan keluarga mentua sebelum bergerak ke Kedah pada hari raya kedua.
Kata ibu kepada tiga anak itu, rumah ibu kandungnya gamat apabila tujuh adik-beradiknya balik serentak bersama pasangan masing-masing.
“Kami tak tidur apabila semua ada. Apa lagi, kita bergosiplah sambil kenang momen dulu-dulu. Bab masak Ayu Raudhah rajin masuk dapur, saya cuma pastikan keadaan rumah kemas.
“Tapi kalau semua balik memang tak boleh nak pastikan semua benda terletak, apa pun kami enjoy suasana meriah.
“Cuma bila semua ada, emak mahu kami rasa air tangan dia, maklumlah anak-anak tinggal jauh.
“Kadangkala, dia akan masuk dapur sehingga hari raya keempat. Memang sedap mak kita masak.Saya paling suka ketupat palas kacang dicicah susu.
“Zain pula suka lontong masakan ibunya. Jadi bersungguh-sunguh dia menikmati juadah itu pada pagi Syawal,” ulasnya yang mengakui tidak pernah melepaskan peluang menziarahi keluarga jauh dekat sepanjang Syawal.
Che Ta turut menyifatkan amalan saling bertandang dan bersalam-salaman sebagai tradisi yang perlu diterapkan kepada generasi akan datang.
“Bila balik kampung, saya suka menziarahi saudara-mara yang lama tak jumpa, setahun sekali saja, jadi manfaatkan masa yang ada.
“Bukan senang dapat peluang sebegitu, lebih-lebih lagi dalam keadaan kesibukan semua orang dengan keluarga masing-masing,” ujarnya.
Diusik lagi berkenaan siapa antara mereka paling lambat bersiap, kongsi bintang Kiah Pekasam itu, selalunya dialah yang ambil masa panjang untuk bermekap.
Begitupun, kata Che Ta, supaya tidak membuatkan ahli keluarga lain berebut giliran untuk mandi, dia akan menjadi orang pertama ‘menempah’ bilik air setiap kali berada di kampung.
“Rumah kampung cuma ada dua bilik air, jadi saya kena bangun paling awal agar dapat mandi dan bersiap dengan tenang.
“Lucunya, walaupun saya paling awal bangkit, saya masih menjadi orang terakhir siap berdandan,” ujarnya.
Menyentuh mengenai persediaan buat permata hati, terutama puteri tunggal, Aaisyah Dhia Rana menginjak ke usia 10 tahun tentu saja seleranya terhadap fesyen semakin bervariasi.
Sudah semakin bijak memberikan pandangan berkenaan fesyen, kanak-kanak petah itu tetap mengikut kata serta akur dengan pilihan ibu.
“Macam biasa untuk baju hari raya pertama sedondon, kita tempah saja untuk seisi keluarga, dia pun faham selera kita macam mana,” ujar Che Ta tentang tradisi bajunya sekeluarga.
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.