2023 bermula dengan bintang Bollywood terkemuka, Datuk Shah Rukh Khan (SRK) membuat kemunculan luar biasa menerusi filem blockbuster, Pathaan.
Kemudian diikuti filem aksi thriller, Jawan pada pertengahan tahun.
Kedua-dua naskhah tersebut menyaksikan SRK dalam avatar aksi hingga menjadikan dua filem itu meraih kutipan tertinggi dalam industri perfileman Bollywood, tahun ini.
Tidak terhenti di situ, SRK mempertaruhkan filem terakhir bergenre komedi, drama dan romantik berjudul Dunki pada penghujung tahun ini.
Dunki juga kerjasama SRK buat pertama kali bersama pengarah hebat yang pernah mencipta sejarah menerusi filem Munnabhai MBBS, PK dan 3 Idiots iaitu Rajkumar Hirani.
Tampil dengan kisah berbeza, filem Dunki menjauhkan SRK daripada aksi dan penampilan macho di layar perak.
Dunki mengetengahkan perbezaan antara kaya dan miskin, celik dan buta huruf serta impian dalam kehidupan.
Filem itu mengangkat isu pendatang asing dari Punjab, India Utara untuk mencari kehidupan lebih baik.
Di sebalik itu, Rajkumar turut menyelitkan beberapa fakta dan statistik yang berlaku terhadap pendatang asing dalam skrip ditulis bersama Abhijat Joshi dan Kanika Dhillon itu.
Kisah pendatang asing sudah menjadi isu ‘tabu’ dan memberi impak seluruh dunia, namun Rajkumar bijak mengolah jalan cerita dengan menyuntik elemen kemanusiaan, selain disampaikan berselang-seli dengan aksi humor serta menjentik emosi penonton.
Dunki tampil dengan kekuatan tersendiri melalui jalan cerita dan lakonan hebat SRK dan gandingannya, Taapsee Pannu.
Selain itu, Dunki turut dibarisi oleh Boman Irani, Vicky Kaushal, Vikram Kochhar, Boman Irani, Anil Grover dan Dharmendra.
Kisah berlatarkan pada tahun 1995 apabila Hardy Singh Dhillon (SRK) yang juga seorang askar yang baru saja pulih daripada kecederaan tiba di bandar bernama Laltu di Punjab untuk mencari lelaki yang pernah menyelamatkan nyawanya.
Hardy bertemu dengan tiga lelaki, Taapsee Pannu (Manu), Anil Grover (Balli) dan Vikram Kochhar (Buggu) yang bercita-cita berhijrah ke London, England untuk mencari kehidupan lebih baik.
Dunki berdurasi 2 jam 39 minit yang diedarkan oleh White Merpati Entertainment Sdn. Bhd. di Malaysia itu menemui penonton di pawagam seluruh dunia sejak 21 Disember lalu. – HIBGLAM